News_archive

Najib Tiba Di Beijing Untuk Memulakan Lawatan Rasmi Ke China

By Monday June 1st, 2009 No Comments

BEIJING, 2 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada kira-kira pukul 6.30 petang bagi memulakan lawatan rasmi empat hari ke China.

Najib, yang menaiki pesawat khas dari Korea Selatan, diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut sama dalam penerbangan itu ialah Menteri Luar Datuk Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing di sini disambut Penolong Menteri bagi Hal Ehwal Luar China, Hu Zheng Yue, Duta Besar China ke Malaysia, Liu Jian, dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman.

Najib dan rombongannya kemudian dibawa ke Rumah Tetamu Negara Diaoyutai atau Diaoyutai Guo Binguan di mana beliau tiba pada kira-kira pukul 7.20 malam.

Najib dan Rosmah akan menginap di villa No. 18, yang juga dikenali sebagai “presidential villa” di kompleks rumah tetamu yang mempunyai beberapa bangunan, dari rumah bertingkat sehingga yang kecil, rumah-rumah bersambung di dalam satu kawasan yang dipenuhi dengan kehijauan.

Apabila bekas Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon melawat China pada Februari 1972, beliau juga menginap di villa No. 18. Ia juga dikatakan bahawa Nixon mempamerkan “kemahiran menggunakan chopstick” di bankuet negara di situ.

Nama “Diaoyutai”, bermakna “platform memancing”, dan nama itu diambil daripada kawasan memancing yang digemari Maharaja Zhangzong daripada dinasti Jin.

Rumah tetamu negara di dalam daerah Haidian di Beijing digunakan bagi menempatkan kenamaan asing yang datang melawat dan juga pegawai kerajaan wilayah.

Semasa tahun 1960-an dan 1970-an, para pemimpin China seperti Mao Zedong, Liu Shaoqi, Zhou En-lai dan Deng Xiaoping juga datang ke sini untuk bermesyuarat atau untuk tinggal atau bekerja bagi tempoh sementara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply