News_archive

Najib Tertarik Dengan Sikap Mandela Tumpu Pembangunan Negara, Tidak Suka Balas Dendam

By Saturday March 19th, 2011 No Comments

KUCHING, 19 Mac (Bernama) — Sikap bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, yang dipenjara selama 27 tahun kerana menentang dasar apartheid tetapi tidak membalas dendam selepas dibebaskan dan hanya menumpukan kepada pembangunan negara itu, telah mempengaruhi dan memberi rangsangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata sikap Mandela yang tidak pernah lari dari perjuangan asalnya untuk membebaskan negaranya, baik semasa di penjara dan dibebaskan, memperlihatkan Mandela seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berhati mulia.

Oleh kerana itu, buku-buku penulisan Mandela merupakan antara buku yang amat diminatinya dan mempengaruhinya, kata Najib semasa berucap pada sesi “Mari Berjumpa Mari Berbincang” dengan peminat Facebooknya di sini hari ini, yang merupakan program pertama yang diadakan di luar Putrajaya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada salah seorang peminat Facebooknya yang ingin tahu buku yang mempengaruhinya pada sesi soal jawab di majlis yang dihadiri seramai 250 peminatnya dari seluruh pelusuk negeri ini.

Najib berkata beliau dapat menghayati kesengsaraan yang dilalui oleh Mandela, seorang aktivis yang menentang dasar itu sehingga dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Febuari 1962 dan menghabiskan 18 tahun daripada masa tahanannya di Robbin Island dengan menjalankan kerja berat dalam kuari batu kapur.

Walaupun memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 1993 di penjara selama 27 tahun, Mandela tidak pernah lari dari matlamat yang dipegangnya untuk membebaskan negaranya daripada amalan apartheid.

Najib berkata pemimpin berjiwa besar itu “bila dilepaskan dari tahanan tidak membalas dendam terhadap mereka yang telah mengurungnya selama 27 tahun,” malah tumpuannya hanyalah untuk menyatupadu dan memperkukuhkan negaranya.”

“Apa yang penting baginya adalah kepentingan negara dan bukan kepentingan dirinya. Satu cerita yang menyentuh perasaan,” katanya.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 11 Feb 1990, Mandela dipilih sebagai Presiden ANC dan menjadi Presiden Afrika Selatan sehingga 1999, dalam sebuah negara di mana wakilnya dipilih melalui proses pilihan raya pada 1994.

Semasa menjadi Presiden, Mandela kerap memberi keutamaan kepada usaha perdamaian dan telah menulis beberapa buah buku termasuk “Long Walk to Freedom” dan “Conversation with Myself.”

Najib juga berkata buku “Blue Ocean Strategy” yang yang laaris di peringkat antarabangsa yang ditulis oleh W.Chan Kim dan Renee Mauborgne, telah mempengaruhi beliau untuk muncul dengan penyelesaian kreatif bagi menyelesaikan sesuatu masalah.

Buku itu menggalakkan seseorang pentadbir melihat sesuatu isu dengan pemikiran kreatif dan innovatif daripada apa yang biasa dilakukan, dan dengan cara ini, seseorang itu dapat menyelesaikan sesuatu perkara itu yang tidak difikirkannya sebelum ini.

Perdana Menteri berharap amalan membaca akan menjadi sebagai satu kekuatan bagi rakyat di negara ini.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai perasaannya yang menjadi Anggota Parlimen termuda pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Pekan pada Febuari 1976 semasa berusia 22 tahun, Najib berkata pelbagai perasaan menyelubungi dirinya termasuk gementar, gubra dan sebagainya.

“Apabila sesorang itu dihumban ke dalam kolam renang, dia hanya mempunyai dua pilihan sama ada untuk berenang ke hujung sana atau lemas atau tenggelam. Jadi saya memutuskan untuk berenang ke hujung kolam dan sebagai wakil rakyat saya perlu bekerja dan tidak boleh bergantung kepada nama keluarga. Saya mahu mencipta sesuatu atas nama sendiri,” katanya.

Akhirnya, beliau mendapat keyakinan rakyat yang telah meletakkannya di mana beliau berada sekarang sebagai Perdana Menteri, kata Najib.

Sumber : Bernama

Leave a Reply