News_archive

Najib Terima Kunjungan Pegawai Kanan Pentadbiran Obama

By Thursday December 15th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat William J Burns di sini Khamis.

Burns berada di sini bagi lawatan kerja dua hari.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan Duta Besar Amerika ke Malaysia Paul W Jones.

Terdahulu, Burns menemui Timbalan Menteri Luar A Kohilan Pillay di Wisma Putra.

Sebelum berlepas dari Malaysia, Burns berkata: “Presiden (Barack) Obama, saya dan Setiausaha (Negara Hillary) Clinton komited untuk membina hubungan kukuh dan kerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain di rantau Asia Pasifik.

Amerika ingin bekerjasama dengan negara-negara di rantau itu bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.

Burns berkata Amerika dan Malaysia berkongsi minat yang sama dalam memupuk keamanan dan kemakmuran di dunia atas asas kepentingan bersama dan saling hormat menghormati.

Beliau menyentuh pertemuan antara Obama dan Najib di Bali beberapa bulan lalu di mana mereka membincangkan pelbagai isu dua hala dan pelbagai hala.

“Memandang ke depan, pelaburan yang kami lakukan akan membawa kepada lebih banyak keamanan dan kemakmuran bagi warganegara Malaysia, Amerika Syarikat dan setiap orang di rantau Asia Pasifik,” kata Burns.

Kenyataan itu menyebut bahawa lawatan Burns adalah siri terbaharu lawatan pegawai-pegawai kanan pentadbiran Obama, dan ia menggambarkan kepentingan yang diletakkan oleh Amerika terhadap hubungannya dengan Malaysia sebagai rakan penting di Asia Tenggara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply