News_archive

Najib Terajui Usaha Menyelesaikan Masalah Pendidikan Cina

By Sunday April 1st, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan usaha untuk menyelesaikan isu kekurangan guru sekolah Cina yang telah berlarutan sekian lama, apakah signifikannya langkah itu?

Ini hanya menunjukkan yang kerajaan serius mahu menyelesaikan isu itu.

Sebelum ini, jawatankuasa khas yang diketuai Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong telah ditubuhkan bagi mengadakan perbincangan dengan kalangan pendidik Cina dan pemegang amanah lain untuk menangani masalah yang dihadapi sekolah-sekolah Cina. Ini telah menghasilkan pelan lapan perkara yang pada prinsipnya telah dipersetujui oleh kerajaan.

Dua daripada langkah dalam pelan itu — memperkasakan guru besar untuk mengambil guru sementara secara terus dan menggantikan guru dan kaunselor tidak mahir berbahasa Mandarin di sekolah aliran Cina dengan mereka yang fasih berbahasa Mandarin — telahpun diumumkan oleh Najib pada program bicarawara di sebuah stesen radio.

Sepertimana ditegaskan oleh Dr Chin Yew Seng, ketua Oriental Strategy Research Centre dan timbalan setiausaha agung Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Huazong), langkah betul dan pembetulan sedang diambil oleh Najib untuk menangani isu itu yang telah berlarutan sekian lama. Ini dibuktikan oleh penubuhan jawatan khas itu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Selepas dua perbincangan meja bulat, kerajaan telah menerima (pelan lapan perkara) tanpa sebarang pindaan. Ini menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menyelesaikan isu berlarutan ini,” kata Dr Chin, yang turut mewakili Huazong pada perbincangan itu.

Dr Chin menjelaskan lapan perkara itu termasuk usaha untuk meningkatkan jumlah pengambilan pensyarah fasih berbahasa Mandarin untuk mengajar bahasa Cina di institut latihan guru.

Di bawah pelan itu, dari darjah satu hingga empat, diputuskan bahawa guru yang dihantar mengajar di sekolah vernakular perlu fasih sama ada Bahasa Malaysia-Cina atau Bahasa Inggeris-Cina. Selepas “Tahap 2” (darjah empat hingga enam), syarat dwibahasa ini tidak perlu lagi.

“Selama 36 tahun lepas, kami berdepan masalah ini, yang tidak diselesaikan sehingga baru-baru ini.

“Menerusi perbincangan meja bulat, kerajaan telah mengiktiraf isu-isu ini, dan kini, ia sedang mengambil langkah untuk menyelesaikannya. Ini amat penting kerana kaum Cina amat mementingkan pendidikan. Anda perlukan pemimpin yang berfikiran terbuka (seperti Najib) untuk menyelesaikan sepenuhnya isu ini,” katanya.

Sepertimana ditegaskan oleh pengulas isu itu, Rita Sim dalam kolumnya dalam New Straits Times pada 29 Mac, ramai orang masih tidak faham akan isu berkenaan dan malahan mempersoalkan kenapa masyarakat Cina marah dengan perkara itu atau “meminta terlalu banyak” sedangkan pendidikan Cina telah diberikan banyak kelonggaran di negara ini.

Beliau menjelaskan masyarakat Cina bukan meminta lebih tetapi sekadar meminta apa yang telah ditetapkan dalam Laporan Razak 1956 untuk sekolah-sekolah vernakular menjadi sebahagian sistem pendidikan kebangsaan dan menerima bantuan serupa dengan sekolah-sekolah kebangsaan, termasuk dana dan tanah untuk pembangunan serta guru terlatih.

Kalangan pendidik Cina mendakwa sekolah rendah Cina jenis kebangsaan berdepan masalah kekurangan dana, staf berkelayakan dan tempat untuk pelajar.

Tambahan pula sekolah Cina di luar bandar berdepan masalah kekurangan murid dan infrastruktur tidak lengkap manakala sekolah Cina di bandar pula sesak.

Selain itu, masyarakat Cina pula sering perlu mengumpulkan dana mereka sendiri bagi pembangunan sekolah.

Sim berkata kekurangan guru terlatih bagi sekolah-sekolah Cina telah mendorong kepada keperluan pengambilan guru sementara untuk mengisi jurang itu, dengan 1,000 guru diambil setiap tahun, tetapi langkah itu tidak lagi efektif sejak mencapai tahap kritikal yang memerlukan langkah jangka panjang dilaksanakan segera.

“Saya optimis pelan itu mencerminkan usaha kerajaan untuk menangani masalah kekurangan guru secara holistik dan sistematik. Politik dan emosi perlu dikesampingkan. Memberi layanan saksama kepada sekolah Cina tidak akan menjejaskan kewibawaan bahasa kebangsaan ataupun menghalang integrasi antara kaum.

“Sekolah-sekolah Cina (dan Tamil) hanya sekadar meminta untuk tidak dipinggirkan daripada segi peruntukan sumber dan pembangunan di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

“Jika kerajaan menunjukkan keikhlasan dalam meneruskan pelan lapan perkara itu, ini akan mewujudkan potensi bagi 10 peratus undi Cina beralih semula kepada Barisan Nasional,” kata Sim.

Disebalik kerumitan masalah itu, Pengerusi Biro Pendidikan Gerakan Lau Chin Hoon, menyifatkan pelan lapan perkara itu sebagai “permulaan baru atau laluan” untuk menyelesaikannya.

“Saya faham bahawa masih wujud kesangsian terhadap pelan lapan perkara, tetapi kita juga perlu menerima hakikat yang ia adalah satu pencapaian awal yang boleh ditambah baik dari situ.

“Mari kita beri peluang untuk pelan ini dilakanakan sepenuhnya. Kita tidak boleh biarkan isu ini berlarutan selamanya,” katanya dan menurutnya adalah penting bagi Kementerian Pelajaran dan kalangan pendidik Cina mengadakan dialog secara tetap.

Disebalik penerimaan kurang menggalakkan termasuk demonstrasi oleh pergerakan pendidikan Cina di Kajang dua minggu lepas dan kesangsian di beberapa pihak tertentu, Dr Wee tetap tidak berputus asa malahan akan terus berusaha membuktikan hasrat dan iltizam kerajaan untuk mencari penyelesaiannya.

“Saya diberikan taklimat oleh MOE (Kementerian Pelajaran) pada 29 Mac mengenai perancangan untuk mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC.

“Saya juga telah mengarahkan pegawai untuk mengeluarkan pekeliling memohon tambahan guru sementara dan memindahkan guru sepertimana diumumkan sebelum ini.

“Saya minta mereka menyediakan data untuk mesyuarat meja bulat akan datang pada 2 April. Mari kita teruskan daripada situ,” kata Dr Wee.

Sumber : Bernama

Leave a Reply