News_archive

Najib Tepung Tawar Van Skuad Sayang Wanita Umno Kelantan

By Tuesday January 24th, 2012 No Comments

KOTA BAHARU, 24 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang yang akan digunakan oleh Pergerakan Wanita Umno dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kelantan.

Majlis ringkas tersebut berlangsung di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, selepas ketibaan Perdana Menteri pada pukul 11.50 pagi ini.

Turut sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Wanita Umno Kelantan Datin Rahimah Mahamad.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden Umno, mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri Kelantan, selama kira-kira sejam.

Perdana Menteri kemudiannya menghadiri majlis menyambut menantu yang diadakan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh di kediaman Mohd Fatmi di Jalan Hospital di sini.

Sementara itu, Rahimah berkata van Skuad Sayang itu akan digunakan oleh 14 bahagian Umno di negeri ini manakala sebuah lagi akan digunakan Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Beliau berkata kemudahan itu akan dapat melancarkan lagi kegiatan Pergerakan Wanita Umno Kelantan dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negeri.

“Sebelum ini, Wanita Umno menggunakan kenderaan sendiri termasuk untuk masuk ke kampung-kampung bagi mendekati rakyat dan membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya van tersebut, anggota pergerakan itu akan lebih gigih lagi mendekati dan memberi bantuan kepada rakyat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply