News_archive

Najib Tamatkan Lawatan Di Sarawak Dengan Bersiar-siar Di Kampung

By Wednesday June 17th, 2009 No Comments

KUCHING, 18 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menamatkan lawatan dua hari ke negeri ini dengan bersiar-siar petang Khamis di Kampung Bintawa di sini untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk yang menetap di tebing Sungai Sarawak.

Cara kebiasaannya bekerja sejak menjadi Perdana Menteri pada April tahun ini, Najib menghabiskan masa berbual-bual dengan beberapa penduduk sambil bersalam-salaman dengan kanak-kanak dari sekolah SK Matu Baru berdekatan, yang berbaris seawal 3 petang di bawah terik matahari untuk menyambut beliau sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau diiringi Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Najib, juga meninjau infrastruktur kampung Melayu yang daif termasuk laluan pejalan kaki daripada kayu yang dibina pada 1970-an dan sistem perparitan dan diberi taklimat mengenai pelan cadangan bagi meningkatkan jalan dan longkang dan kemudahan yang lain.

Dr Abdul Rahman berkata projek yang akan dijalankan ialah pembinaan jalan sepanjang 9.6 km berharga RM16 juta di kampung itu yang berada di bawah kawasannya sebagai tambahan kepada projek perparitan sepanjang satu km berharga RM600,000.

Sementara itu, seorang pemandu berumur 27 tahun Jefrie Fauzie berkata beliau berasa bangga kerana ini merupakan kali pertama seorang Perdana Menteri melawat kampungnya.

“Inilah peluang untuk meminta projek pembangunan kampung, seperti jalan raya, dan bantuan kerajaan untuk mengatasi masalah, termasuk banjir yang melanda penduduk kampung di sini setiap tahun,” katanya kepada Bernama.

Pelajar tahun enam, Mohd Anuar Mohd Mislie, 12, serta rakannya Mohd Farith Sazali, 12, turut merasa terharu dengan lawatan Najib.

“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya sambil mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama 300 rakan-rakan sekolahnya di sepanjang jalan kampung itu.

Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor semasa lawatan rasmi itu berlepas ke Kuala Lumpur selepas itu.

Sumber : Bernama

Leave a Reply