News_archive

Najib Sifatkan Sarawak Contoh Amalan Konsep 1Malaysia

By Sunday June 21st, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sarawak sebagai contoh amalan budaya hidup ‘Perpaduan Melalui Kepelbagaian’, sekaligus menjadi petanda konsep 1Malaysia diterima baik rakyat.

“Jika apa yang saya lihat sepanjang lawatan saya ke Sarawak baru-baru ini satu petanda bahawa konsep 1Malaysia itu bukan sahaja diterima dengan baik oleh Rakyat, malah ia adalah satu cara hidup.

“Rakyat Sarawak adalah contoh apa yang saya maksudkan dengan ‘Perpaduan Melalui Kepelbagaian’, seperti yang mereka sama-sama hormati budaya dan perayaan kumpulan etnik mereka yang pelbagai,” katanya dalam posting terbaru melalui blognya www.1Malaysia.com.my.

Beliau yang menceritakan lawatannya ke Sarawak baru-baru ini umpama sebuah catatan perjalanan, juga menyifatkannya kunjungan ke Kota Kenyalang itu sungguh berhasil.

“Saya merenung kembali perpaduan yang ditunjukkan yang saya lihat pada dua hari yang lalu. Malah sebelum saya menjelaskan nilai-nilai dan unsur-unsur 1Malaysia, ianya telah lama diamalkan oleh rakyat Sarawak, sama ada mereka yang tinggal di pekan dan bandar yang telah maju atau di rumah-rumah panjang tradisional dan kampung-kampung tinggalan nenek moyang mereka.

“Pada masa yang sama, saya memikirkan akan pentingnya memastikan kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri berganding bahu meneruskan usaha untuk membangunkan semua daerah di Sarawak untuk mencapai matlamat dan cita-cita, seperti yang dibincangkan dengan Ketua Menteri Sarawak,” katanya.

Beliau turut menyuarakan rasa terkilan atas kesuntukan waktu untuk bertemu dengan anggota Dewan Undangan Negeri; tetapi berjanji tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan perbincangan bersama Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud.

Najib berkata 1Malaysia adalah dan akan terus menjadi satu proses dinamik pembangunan negara.

Najib juga berkata, beliau akan membuat beberapa pengumuman liberalisasi pada akhir Jun ini, dan selanjutnya, akan ada lagi pengumuman pada hari ke-100 saya menjadi Perdana Menteri, khusus untuk rakyat dan menggambarkan konsep “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

“Saya berharap anda semua akan terus menyokong konsep ini melalui penyertaan anda dalam laman web saya melalui interaksi anda dengan rakyat Malaysia yang lain dan sesiapa juga, dan melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni dan prinsip-prinsipnya dalam kehidupan seharian anda,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply