News_archive

Najib Seru Rakyat Buat Pilihan Tepat Agar Negara Terus Maju

By Saturday February 18th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru rakyat supaya membuat pilihan tepat pada pilihan raya umum akan datang kerana ini penting untuk memastikan negara terus maju.

“Buatlah pilihan yang tepat. Kalau anda berada di persimpangan jalan, ambillah arah yang betul. Kalau anda ambil arah yang betul, saya yakin kita akan dapat melakukan transformasi terhadap Malaysia.

“Kita akan berada di barisan hadapan negara; kita akan berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, yang boleh kita banggakan,” katanya ketika merasmikan persidangan sehari “Cina Malaysia Di Persimpangan Politik, anjuran bersama Institut Strategi dan Kepimpinan Asia dan badan pemikir MCA Insap di sini.

Najib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata pilihan raya umum akan datang bukan untuk kepentingan beliau, tetapi untuk kepentingan masa depan Malaysia.

Oleh itu, kata Najib, beliau ingin mendapatkan mandat daripada rakyat setelah mendapatnya daripada BN dan Umno, yang beliau adalah pengerusinya.

“Dengan mandat yang anda berikan, saya berikrar, saya akan berusaha dengan sedaya upaya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa mendengar apa yang disuarakan oleh rakyat, termasuk masyarakat Cina.

“Selama ini pun saya mendengarnya, dan berharap akan dapat mendengarnya dengan lebih lagi, tapi saya akan hanya dapat berbuat demikian sekiranya mendapat sokongan daripada rakyat.

(Oleh itu) Untuk julung kalinya, saya ingin mendapatkan mandat daripada rakyat, kata beliau.

Sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009, inilah kali pertama Najib akan menerajui Umno dan BN menghadapi pilihan raya umum. Pilihan raya umum sebelum ini diadakan pada 2008.

Najib berkata sebagai kerajaan yang mendengar suara rakyat, sebarang tuntutan yang adil dan munasabah akan dijadikan sebahagian daripada dasarnya.

Sambil mengambil pendidikan Cina sebagai contoh, Perdana Menteri berkata Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang menyokong kewujudan dan kemajuan sekolah Cina.

Kini, kata beliau, persoalan yang wujud bukan lagi tentang kewujudan sekolah Cina, tetapi lebih kepada bagaimana untuk menyalurkan dana serta guru ke sekolah itu.

Najib berkata ini hasil daripada pendirian beliau yang sanggup menghadapi risiko dalam bidang politik apabila beliau meminda Akta Pelajaran untuk menjamin kewujudan sekolah Cina ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran. Beliau menyandang jawatan itu dari Mei 1995 hingga November 1999.

“Kini, kewujudan sekolah Cina tidak boleh diragui lagi. Ia menjadi sebahagian penting dalam sistem pendidikan kebangsaan kita,” katanya.

Najib berkata perubahan serta transformasi yang dilaksanakan kerajaan BN memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat Malaysia, berbanding reformasi yang dihebohkan oleh pembangkang.

Kepimpinan BN juga memastikan pertumbuhan untuk rakyat dilaksanakan secara sistematik, bukan seperti gerakan “reformasi” anjuran pembangkang, yang lebih gemar turun ke jalan raya untuk mencetuskan kekacauan di negara ini,’ katanya.

Masyarakat Cina tidak akan mendapat manfaat sekiranya negara ini berada dalam keadaan kacau-bilau. Malah, apabila wujud keadaan tidak menentu pun, saham akan jatuh,” katanya.

Najib berkata Malaysia tidak seharusnya jatuh ke tangan Pembangkang, yang para pemimpinnya bukan saja tidak mampu mencapai kata sepakat tentang pendirian mereka, tetapi juga selalu memburuk-burukkan kerajaan BN untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Sumber : Bernama

Leave a Reply