News_archive

Najib Seru Golongan Moderat Suarakan Pandangan Secara Tegas

By Tuesday January 17th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — “Sudah tiba masanya bagi semua golongan berpendirian sederhana di mana sahaja mereka berada supaya bangkit dan secara senada menyatakan “tidak” dengan tegas kepada golongan pelampau.”

Dengan seruan lantang itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menentukan suasana Persidangan Pergerakan Moderat Global kali pertama yang dirasmikannya Selasa.

Sambil menyatakan “kita tak dapat menolak pandangan dunia ekstrem secara paksa,” beliau berkata cara terbaik ialah dengan memupuk sikap toleransi dan persefahaman bukan dengan cara melenyapkan suara kebencian tetapi dengan menyuarakan pandangan secara tegas.

“Pujukan, perundingan dan bekerjasama — ini mesti dijadikan senjata kita bagi berdepan dengan kebencian dan niat jahat,” kata pemimpin Malaysia itu di hadapan ratusan perwakilan dari lebih 70 negara.

Agar masyarakat dunia menerima sikap sederhana dalam usaha menentang golongan ekstrem, Najib berkata sejarah bukan dibuat oleh mereka yang mendokong fahaman ekstremisme tetapi oleh mereka, yang tanpa mengorbankan kepercayaan mereka, tidak berpaling daripada jalan kesederhanaan.

Perdana Menteri berkata semua orang sudah biasa dengan kekuatan semangat dan kepimpinan Mahatma Gandi, Nelson Mandela dan Aung San Suu Kyi.

“Tapi anda tidak perlu menjadi seorang pemimpin dunia sebagai inspirasi. Kesederhanaan boleh membawa perbezaan di mana saja mereka mempertahankan pendirian mereka,” kata Najib, orang yang pertama mengilhamkan idea bagi pergerakan itu dalam ucapannya pada sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York pada September 2010.

Dalam ucapannya yang merangsang pemikiran di sini, Najib menyifatkan golongan pelampau sebagai kumpulan manusia yang didorong oleh sikap ortodoks — satu pemikiran muluk dengan ciri sentiasa ambil mudah, memberi gambaran yang salah dan pembohongan semata-mata.

“Daripada meraikan kesucian hidup, seperti yang dituntut semua agama, golongan ekstrem menekankan kepada kemenangan selepas mati.

“Daripada mencari dan merangkum perbezaan, mereka mendokong kejahilan, tidak bertolak ansur dan mengkaji diri,” katanya sambil menambah bahawa golongan pelampau itu juga takut dengan perubahan, tidak mempedulikan kemajuan dan berlindung dalam sebuah dunia yang ideal yang tetap tidak berubah.

“Pada dasarnya, dan mungkin tarikan terhadap tindakan ekstrem jelas satu kesederhanaan — jadi ia berbalik kepada pergerakan dan perhimpunan seperti ini untuk menyoal kebenaran hakiki yang mudah ini dengan pintar dan bersemangat,” kata Najib.

Beliau juga hairan bagaimana tindakan ekstrem ini oleh sekumpulan minoriti orang Islam menjadi satu gambaran sebenar mengenai keseluruhan ajaran Islam, dan membayangi golongan ekstremis dari semua kepercayaan dan tidak beragama yang melakukannya di seluruh dunia.

“Pandangan merosakkan seperti ini tidak boleh terus dibiarkan tanpa dicabar, dan ia tidak cukup setakat berkata, seperti yang dilakukan orang lain, bahawa penyelesaian kepada ekstremisme itu hanya semata-mata supaya lebih ramai orang Islam bercakap sebagai tanda menyokong dan mempertahankannya.

“Kita perlu mendengar daripada golongan yang mengamalkan sikap sederhana bagi semua agama di semua negara dan daripada semua lapisan masyarakat — dan apabila kita berbuat demikian, harga bagi sebuah keamanan ada bagi semua untuk dilihat,” katanya.

Najib juga berkata ekstremisme tidak pernah diterima baik dalam masjid, gereja dan kuil.

“Dan kebencian yang tidak dikikis ini, dicampur dengan keenganan untuk menerima pandangan dan nilai-nilai lain, menjadikan ekstremisme ini satu ancaman besar,” kata Najib.

Berbalik kepada Malaysia, Perdana Menteri berkata Malaysia telah begitu lama sinonim bukan dengan ekstremisme tetapi dengan kesederhanaan, toleransi dan inklusif.

“Dalam sebuah negara dengan majoritinya orang Islam dengan masyarakat Hindu, Buddha, Kristian, Tao dan Sikh, kita tahu benar apa itu perbezaan maruah, katanya sambil menambah bahawa rakyat Malaysia akan terus berusaha menjadi sebuah negara yang benar-benar bersatu dengan mempercayai nilai-nilai kesederhanaan dan semangat 1Malaysia.

Najib berkata beliau mungkin naif jika berharap untuk sebuah dunia tanpa keganasan, tidak bertolak ansur dan bagi semua kebencian dan semua kesengsaraan yang dilakukan oleh manusia ke atas manusia.

“Tetapi harga bagi sebuah kegagalan jika kita tidak mempunyai impian sebenarnya perlu dibayar dengan harga yang tinggi.Jadi mari kita berani untuk bermimpi besar, marilah kita berani untuk membayangkan yang sebelum ini tidak pernah dibayangkan.

“Ya, mari kita secara berani menyahut dengan lantang seruan untuk bertindak,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply