News_archive

Najib Sampaikan Ucap Utama Pada Persidangan Pergerakan Moderat Sedunia

By Tuesday January 17th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucap utama pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Moderat Sedunia (ICGMM), satu agenda bagi memupuk keamanan berasaskan kesederhanaan yang beliau sering bangkitkan di peringkat negara mahupun antarabangsa.

Perdana Menteri mencetuskan idea bagi pergerakan seumpama itu dalam ucapan sulungnya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada September 2010 apabila beliau menyeru pemimpin-pemimpin dunia supaya bergerak ke arah mewujudkan “Pergerakan Moderat Global” melibatkan semua agama bagi memupuk keamanan dan pragtisme dan menolak kegiatan pelampau.

Persidangan tiga hari itu mengumpulkan 50 penceramah serta 350 peserta dari 70 negara.

Ia dianjurkan oleh alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bertemakan keamanan sejagat.

Dalam kata-kata aluan beliau dalam buku cendera hati persidangan itu, Najib berkata masanya sudah tiba bagi golongan berpendirian sederhana dari semua negara dan semua agama mengambil langkah agar suara mereka didengar.

Katanya persidangan itu bertujuan menyediakan satu paltform bagi semua pihak belajar antara satu sama lain dan memupuk persefahaman ketika dunia menghadapi pelbagai ketidaktentuan.

“Sejarah membuktikan bahawa tamadun yang hebat perlu berdepan dengan perjuangan yang hebat juga.

“Namun, pada zaman ketika kita melalui kemajuan material, walaupun konflik dan pertembungan berlaku, ruang bagi mengadakan dialog dan sama-sama menikmati keamanan adalah lebih luas.

“Maka, penting bagi kita untuk menyerap satu visi untuk saling mempercayai berlandaskan perbahasan berhemah dan aspirasi,” kata Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply