News_archive

Najib Sampaikan Sumbangan Zakat Kepada 1,532 Penerima

By Thursday August 25th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) — Buat julung kalinya, pemandu teksi di Wilayah Persekutuan disenaraikan sebagai antara penerima zakat daripada Baitulmal dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada tahun ini.

Selain pemandu teksi, turut disenaraikan ialah pesara tentera, polis dan Pos Malaysia Berhad.

Mereka merupakan antara 1,532 penerima zakat berjumlah RM612,800 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis di Masjid Putra di sini Khamis.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Najib dalam ucapannya berkata langkah untuk memberi sumbangan kepada pemandu teksi adalah sebagai menghargai peranan mereka yang menjalankan tugas yang sangat diperlukan oleh masyarakat.

“Pemandu teksi ni, orangnya nampak gagah tetapi teksi mungkin bukan milik mereka dan jika pendapatan bersih RM1,000 sebulan, bila akhir bulan agak terdesak juga.

“Mereka ini merupakan kumpulan yang perlu diberi sumbangan bagi menghargai warganya. Jangan lupa, kebajikan mereka juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Katanya begitu juga kepada kumpulan yang berjasa kepada negara (pesara tentera dan polis) yang telah bersara tetapi tidak memperoleh pencen berikutan tempoh perkhidmatan tidak mencukupi selama 21 tahun.

“Mereka ini patut dibantu kerana jasa mereka yang tidak ternilai kepada negara. Begitu juga kepada balu yang sudah tentu memerlukan bantuan daripada sumbangan zakat Baitulmal,” katanya.

Beliau berkata pendapatan zakat bertambah setiap tahun, menunjukkan negara dan umat Islam semakin makmur serta kerajaan yang dapat mentadbir dengan baik bersama dasar yang memacu pertumbuhan negara yang sihat.

“Marilah kita berdoa agar keadaan ini berterusan dan beri sokongan padu kepada kerajaan agar kebajikan rakyat akan dapat terus diperjuangkan,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply