News_archive

Najib Sampaikan Sumbangan RM972,900 Untuk Tingkatkan Akses Kepada Pendidikan di Sarawak

By Saturday January 15th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan RM972,900 daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi membantu meningkatkan akses kepada pendidikan bagi pelajar sekolah yang kurang bernasib baik di kawasan pedalaman Sarawak.

Najib, yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB menyampaikan sumbangan itu semasa program bertemu rakyat di Sungai Asap, Bintulu.

Sebahagian besar sumbangan itu adalah bagi pembinaan sembilan rumah arau berharga RM900,000, iaitu tujuh di Kapit dan setiap sebuah di Belaga dan Lubok Antu, kata satu kenyataan 1MDB yang dikeluarkan di sini.

Rumah arau adalah rumah persinggahan yang terletak berdekatan sebuah sekolah di mana ibu dan kanak-kanak pra sekolah yang tinggal jauh untuk berulang alik boleh mendapatkan perlindungan sementara semasa waktu sekolah.

Kanak-kanak pra sekolah tidak layak tinggal di asrama sekolah kerana dianggap terlalu muda untuk berdikari bagi menjaga diri sendiri.

Baki RM72,900 diberikan sebagai bantuan bagi 150 pelajar yang tidak bernasib baik terdiri daripada 114 pelajar sekolah rendah dan 36 pelajar sekolah menengah.

Najib menyampaikan bantuan itu bersama dengan RM450 setiap seorang kepada pelajar sekolah rendah dan RM600 bagi pelajar sekolah menengah.

Pelajar yang menerima bantuan itu membentuk kumpulan ketiga pelajar sekolah yang mendapat manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 1MDB dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Sarawak, kata kenyataan itu.

Kumpulan pertama 20 pelajar kurang bernasib baik dari Kanowit menerima bantuan persekolahan daripada Najib pada Februari tahun lalu dan kumpulan kedua terdiri daripada 100 pelajar dari kawasan Long Banga dan Bekenu pada Julai tahun lepas.

Empat rumah arau telah dibina di Kapit, Belaga, Sebauh dan Subis tahun lepas.

Sumber : Bernama

Leave a Reply