News_archive

Najib Sambut Tahun Baru Cina Bersama Parti Komponen BN

By Monday January 23rd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan Gerakan, di sini.

Najib, yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, pagi ini menghadiri rumah terbuka MCA di ibupejabatnya di Jalan Ampang di sini.

Ketibaan Najib pada pukul 9.50 pagi disambut oleh pemimpin MCA yang diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, serta paluan gendang, tarian naga dan singa.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, serta kedua-dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri-menteri kabinet serta permimpin BN yang lain, termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan Presiden PPP Datuk Seri M. Kayveas turut hadir pada majlis tersebut.

Najib dan isteri selepas ini dijadual menghadiri rumah terbuka parti Gerakan di Menara PGRM, di Cheras.

Sementara esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri rumah terbuka BN Pulau Pinang di Tanjong City Marina, Georgetown dan Sabtu ini pula akan menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, Perak.

Sementara itu, Najib dan Rosmah turut menghadiri Rumah Terbuka YTL Corporation Berhad di Hotel JW Marriot di sini.

Najib dan isteri yang tiba pada pukul 12.35 tengah hari disambut oleh Pengarah Urusan YTL Corporation Berhad Tan Sri Dr Francis Yeoh dan Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Berhad Tan Sri Yeoh Tiong Lay.

Turut berangkat ke majlis sama ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Muhyiddin dan isteri, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Majlis yang bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang itu dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung dan dimeriahkan dengan persembahan tarian singa, gendang dan muzik tradisional Cina sempena menyambut kehadiran Tahun Naga itu.

Sementara itu, Muhyiddin sebelum itu turut menghadiri Rumah Terbuka Tan Chong Motor Holding di rumah pengerusinya Datuk Tan Heng Chew di Taman Duta di sini.

Lebih 1,000 orang menghadiri rumah terbuka syarikat itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat ke majlis tersebut.

Sumber : Bernama

Leave a Reply