News_archive

Najib Saksikan Festival Muzik Belia Barisan Nasional

By Sunday March 4th, 2012 No Comments

PETALING JAYA, 4 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan pertandingan akhir Festival Muzik Belia Barisan Nasional (BN) di The Curve, Mutiara Damansara di sini Ahad.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Pemuda Umno yang juga Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Acara dua hari itu dianjurkan Pemuda BN dan ia diadakan buat julung kalinya khusus bagi generasi muda berusia dari 16 hingga 40 tahun tanpa mengira bangsa, latar belakang atau genre muzik.

Najib turut menyampaikan hadiah kepada pemenang setiap kategori yang dipertandingkan iaitu band, vokal berkumpulan dan solo.

Khairy ketika ditemui pemberita berkata Perdana Menteri amat tertarik dengan pendekatan Pemuda BN untuk mendekati golongan muda melalui muzik berbanding secara tradisi sebelum ini, iaitu melalui persatuan belia.

Kategori band dimenangi oleh Skudap Skudip yang menerima hadiah wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan manakala kategori vokal berkumpulan dimenangi Floorythm yang memenangi hadiah RM15,000, trofi dan sijil penghargaan.

Kategori solo dimenangi oleh Zarina Zahrain yang menerima RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Juara keseluruhan yang menerima RM30,000, trofi dan sijil penghargaan diraih oleh Skudap Skudip.

Sumber : Bernama

Leave a Reply