News_archive

Najib, Rosmah Saksikan Malam Festival Kesenian Kanak-kanak Antarabangsa

By Friday December 9th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor malam ini menyaksikan persembahan Malam Gala Festival Kesenian Kanak-Kanak Antarabangsa 2011 di Istana Budaya, yang menampilkan persembahan seni dari sembilan negara.

Mengiringi Najib, yang juga Pengerusi Majlis Perlaksanaan Program PERMATA, dan Rosmah ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abu Seman Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohamad Sidek Hassan serta isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais.

Turut hadir Sultanah Pahang Sultanah Kalsom.

Rosmah, yang juga Penaung PERMATA, berkata penglibatan kanak-kanak dalam bidang seni bukan sekadar satu persembahan malah sebagai platform bagi memartabatkan keamanan sejagat.

“Elemen seni dalam minda kanak-kanak mampu menyemai pemikiran kreatif di kalangan mereka, dan ia memainkan peranan penting dalam pembangunan menyeluruh manusia, di samping menjadi platform memartabatkan keamanan sejagat,” katanya dalam rakaman video ucapan beliau yang ditayangkan pada persembahan itu.

Festival itu menampilkan persembahan dari China, Filipina, India, Jepun, Korea, Qatar, Singapura, Sri Lanka dan Malaysia selaku tuan rumah, dengan pelbagai elemen seni seperti tarian, nyanyian dan persembahan muzik mulai semalam hingga Ahad ini.

Penganjurannya merupakan satu usaha bagi menyediakan ruang dan peluang secara berterusan kepada kanak-kanak berbakat di bawah Program PERMATA Seni untuk menonjolkan bakat cemerlang dalam bidang kesenian.

Sumber : Bernama

Leave a Reply