News_archive

Najib, Rosmah Rai Hari Kanak-kanak Bakti

By Monday June 15th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) — Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sempat meluangkan masa untuk meraikan kira-kira 450 kanak-kanak pelbagai kaum dalam sambutan Hari Kanak-Kanak Bakti, di kediamannya di Sri Satria, di sini.

Majlis yang dianjurkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu terlebih dahulu dirasmikan oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Bakti.

Kanak-kanak berkenaan adalah daripada 13 rumah kebajikan, antaranya Tunas Budaya, Tunas Juara Bakti, Kanak-kanak Permata, Rumah Charis, Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah, Gurpuri Foundation, Rumah Amal Cheshire dan Rumah Anak-anak Yatim Kuala Langat, Selangor.

Najib, yang tiba kira-kira jam 5.30 petang, tidak menolak peluang beramah mesra dengan kanak-kanak tersebut di atas pentas dengan ditemani Rosmah, di mana kanak-kanak tersebut diberi peluang untuk bertanyakan apa sahaja soalan kepada beliau.

Antara yang ditanya adalah umur beliau, di mana Najib menjawab “35 tahun” secara berseloroh, dan “berapakah gaji beliau” yang dijawab “rahsia”.

Najib juga sempat menyampaikan sebuah lagu bertajuk “Young Ones” dendangan penyanyi terkenal Cliff Richard, selepas persembahan istimewa oleh Rosmah yang menyampaikan dua buah lagu iaitu lagu hindi Kuch Kuch Hota Hai dan Jatuh Cinta Lagi, nyanyian kumpulan Matta.

Najib dan Rosmah kemudiannya menyampaikan cenderahati dan sumbangan wang kepada kanak-kanak dalam majlis itu yang turut dihiburkan oleh Aznil Nawawi, Dafi dan Farah AF2, dan diacarakan oleh Datuk Mahadzir Lokman.

Sebelum itu, Rosmah dalam ucapan perasmiannya berkata kanak-kanak merupakan asas pembinaan sesebuah negara, justeru modal insan yang berkualiti dan kreatif akan berupaya memacu negara ke arah pembangunan dan kegemilangan.

Bagaimanapun katanya, pembentukan modal insan secara realistik sepatutnya bukan sahaja menekankan kepada aspek akademik tetapi juga aspek bukan akademik seperti kokurikulum, sukan dan kemahiran bagi memastikan pembentukan masyarakat yang seimbang dan produktif.

“Saya menyeru kepada ibu bapa dan guru-guru agar dapat bersama-sama memastikan pembangunan modal insan anak-anak diterapkan dengan menanam nilai-nilai murni, disiplin, moral dan nilai sosial yang positif,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Ahli Kehormat Bakti Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga isteri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber : Bernama

Leave a Reply