Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib: RM6.95 Bilion Peruntukkan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama Telah Diagihkan - Najib Razak
News_archive

Najib: RM6.95 Bilion Peruntukkan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama Telah Diagihkan

By Sunday June 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin memberitahu Dewan Rakyat bahawa hampir seratus peratus atau RM6.95 bilion perutukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama telah diagihkan.

Daripada jumlah itu, katanya RM4.02 billion atau 57.9 peratus yang melibatkan 43,681 projek telah ditawarkan kepada kontraktor yang berjaya manakala bakinya sedang dalam proses untuk ditawarkan.

Sehingga 5 Jun, 2009, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata RM1.4 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 10,979 projek.

“Ini turut melibatkan projek kecil seperti menaik taraf dan membaik pulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital yang berjumlah RM500 juta telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) sama ada Pakej Rangsangan sampai kepada sasaran yang tepat iaitu untuk membantu rakyat, terutama rakyat di kawasan luar bandar.

Di samping itu program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM592 juta siap dilaksanakan, kata Perdana Menteri.

Katanya projek rumah mesra rakyat yang melibatkan perbelanjaan RM200 juta bagi membina 2,664 unit rumah telah dilaksanakan dengan segera.

“Pelaksanaan projek ini telah memberi kesan positif kepada aktiviti sektor pembinaan pada suku pertama tahun 2009, di mana sektor ini telah mencatat pertumbuhan 0.6 peratus,” kata Najib.

“Pelaksanaan projek tersebut telah memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil, terutamanya dikawasan luar bandar,” katanya.

Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula, sejumlah 7,811 projek bernilai RM4.2 bilion telah diberikan sehingga 5 Jun, 2009, katanya Najib.

Daripada jumlah projek tersebut, katanya RM1.2 bilion telah dibelanjakan untuk menyiapkan 453 projek.

Ini turut melibatkan program PIA dan PIAS bernilai RM173 juta yang melibatkan 2,686 projek yang memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

“Ini secara lansung telah dapat membantu meningkatkan aktiviti ekonomi serta kualiti hidup rakyat luar bandar terutama Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah menambah peruntukan RM674 juta sebagai subsidi untuk mengelakkan kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung.

“Ini telah membantu mengurangkan kadar inflasi kepada 3.0 peratus pada bulan April 2009, berbanding dengan 8.5 peratus pada bulan Julai dan Ogos 2008,” katanya.

Antara lain, Najib berkata berdasarkan situasi ekonomi global, kerajaan menjangkakan persekitaran ekonomi bagi tahun ini adalah lebih sukar dan mencabar.

Najib sebelum ini telah mengumumkan semakan semula unjuran kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun ini kepada negatif 4.0 peratus hingga negatif 5.0 peratus daripada antara negatif 1.0 hingga positif 1.0 peratus.

Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama telah diumumkan pada 4 Nov, 2008 berjumlah RM7 bilion manakala yang kedua berjumlah RM60 bilion pada Mac 10, 2009.

Sumber : Bernama

Leave a Reply