News_archive

Najib Realisasikan Impian Remaja Pesakit Kanser Hendak Berbual Dengannya

By Tuesday May 10th, 2011 No Comments

HULU SELANGOR, 10 Mei (Bernama) — Hajat seorang remaja berumur 13 tahun yang mengidap kanser tulang tahap tiga, Hanif Zolkeflee untuk berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terlaksana jua akhirnya apabila beliau dihubungi oleh Najib menerusi telefon, isnin malam.

Pada peringkat permulaan, perhubungan dibuat menerusi laman sosial Twitter, namun ekoran cuaca buruk, menyebabkan Najib menelefon sendiri remaja berkenaan, di sini.

Perbualan yang sangat bermakna itu berlangsung selama 10 minit di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan di Bukit Beruntung di sini, yang diperdengarkan kepada kira-kira 50 orang hadirin menerusi sistem pembesar suara telefon bimbit milik Kamalanathan.

Hanif yang pada mulanya agak berdebar dan gementar ketika bercakap dengan Najib akhirnya berasa seronok apabila pemimpin negara itu menjawab kesemua sembilan soalan yang diutarakannya secara santai dan turut menyelitkan lawak jenaka.

“Perdana Menteri seorang yang agak kelakar dan prihatin, tidaklah garang sangat. Sebelum cakap saya rasa takut sebab ingatkan Perdana Menteri seorang yang tegas, tetapi lepas cakap saya nampak, tidaklah tegas sangat, malah seorang yang baik hati,” katanya gembira selepas tamat perbualan dengan Najib.

Menjawab satu soalan mengenai harapan beliau terhadap pasukan bola sepak negara, Najib berkata beliau mahu pasukan itu terus mara ke hadapan dan menjadikan kejayaan dalam Piala Suzuki AFF baru-baru ini sebagai batu loncatan untuk meraih kejayaan yang lebih besar lagi.

“Saya nak pasukan bola sepak negara kita ini kalau boleh terus mara sebab kita hendak jadi juara di peringkat Asia Tenggara, tetapi kita masih jauh lagi untuk jadi pasukan yang disegani dan digeruni di peringkat antarabangsa,” katanya.

Berkenaan konsep 1Malaysia pula, Najib berkata ia merupakan usaha untuk menyatu padukan rakyat Malaysia dan membina sebuah negara yang lebih kukuh lagi untuk bersaing dengan lebih berjaya.

Selain soalan mengenai negara dan isu semasa, Hanif turut mengajukan pertanyaan mengenai peribadi Najib antaranya tentang makanan dan minuman kegemaran beliau serta cita-cita lain sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Saya ni suka makan, macam-macam saya suka makan. Saya suka masak tempoyak ikan patin tulen dari Sungai Jelai di Pahang yang tidak ada pencemaran,” katanya sambil menambah beliau pernah bercita-cita untuk menjadi ahli korporat dan pemain bola sepak.

Ketika diajukan soalan mengenai kenangan manis sepanjang menjadi Perdana Menteri, Najib berkata, “Tiap-tiap kali menang di pilihan raya (kecil) saya anggap sebagai kenangan manis, antaranya apabila menang di Hulu Selangor sebab di sini ada pertarungan hebat.”

Pada kesempatan itu, Hanif turut bertanyakan sama ada Najib bercadang untuk melawat Hulu Selangor dan pemimpin itu berkata beliau akan melawat kawasan itu satu hari nanti.

“InsyaAllah, YB Kamalanathan yang harapkan sangat saya melawat kawasan dia (disambut gelak para hadirin), saya tidak melawat pun saya tahu macam-macam kejayaan dia di Hulu Selangor, dia dah buat Klinik 1Malaysia, saya janji akan melawat juga satu hari nanti,” katanya sambil disambut ucapan terima kasih oleh Kamalanathan.

Di akhir perbualan itu, Najib turut mendoakan agar remaja itu pulih dan mendapat kesihatan yang baik selain turut berpesan agar Hanif terus menyokong wakil rakyat Hulu Selangor itu.

Hanif yang turut ditemani bapanya Zolkeflee Zakaria dan ibu Salisah Ibrahim, masing-masing 44 tahun serta adik, Hafiz, 10, kemudian meluahkan hasrat untuk berjumpa dan bersalam dengan pemimpin nombor satu negara itu.

Kamalanathan berkata beliau akan berusaha untuk merealisasikan impian bagi menemukan Hanif dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa, sekarang Hanif bagitahu nak jumpa beliau pulak, jadi ini menjadi tugas saya untuk menjadikan impian itu satu kenyataan,” katanya.

Zolkeflee pula menyifatkan Najib sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang sanggup melayan karenah kanak-kanak di mana bukan semua Perdana Menteri boleh melakukan seperti ini.

Ibu Hanif, Salisah pula berkata impian anaknya untuk berbual dengan Najib itu dianggap sebagai hadiah Hari Ibu yang paling bermakna dan beliau merasa sangat terharu kerana Najib sanggup meluangkan masa untuk merealisasikan hajat anaknya itu.

Hanif yang disahkan menghidap kanser tulang pada 27 September tahun lepas apabila terjatuh dalam rumah ketika bermain di ruang tamu mula menyatakan hasratnya untuk berbual dengan Najib menggunakan komputer riba baru pemberian Kamalanathan kerana beliau sangat kagum dengan Perdana Menteri yang bukan sahaja peramah tetapi juga sangat peka dengan media baru.

Salisah sebelum ini meminta bantuan Kamalanathan mendapatkan komputer buat Hanif yang sering bersendirian di dalam bilik.

Sumber : Bernama

Leave a Reply