News_archive

Najib Rayu Asia Bersatu Hadapi Kesukaran

By Thursday May 26th, 2011 No Comments

TOKYO, 26 Mei (Bernama) – Datuk Seri Najib Tun Razak merayu kepelbagaian negara Asia supaya mempercepatkan integrasi serantau agar mereka boleh bersatu untuk bukan sahaja meningkat lagi pada aras pembangunan malah menangani kesukaran di dunia ini, di mana bencana alam tidak mengenal kawan atau lawan.

Sambil memberi contoh penderitaan yang dialami rakyat Jepun selepas kejadian gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac dan kebimbangan mengenai radiasi yang telah membunuh lebih 15,000 orang serta memberi kesan ratusan ribu lagi, beliau juga mengingatkan bahawa rantau Asia yang berpecah-belah akan menyukarkan walau pun tidak memustahilkan Asia menghadapi cabaran.

“Berfikirlah mengikut satu fikiran dan bertindak sebagai satu pasukan yang akrab,” katanya semasa menyampaikan ucaptama bertemakan “Menangani Cabaran Asia dan Tangani Kesukaran Melalui Integrasi Serantau” pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-17 mengenai Masa Depan Asia di sini Khamis anjuran kumpulan media antarabangsa Nikkei Inc. dari Jepun.

“Jadi, sama ada di aras serantau atau nasional – dan walau pun berhadapan dengan kesemua perbezaan dan isu unik yang kita hadapi, kita perlu mengambil langkah seterusnya bagi memupuk keperluan bersama dan menjadi satu komuniti yang lebih besar, iaitu Komuniti Asia Timur.”

Perdana Menteri berkata demikian kepada peserta yang terdiri para pemimpin politik, pakar ekonomi dan peneraju industri di Hotel Imperial di sini.

Yang turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md. Som, Pengerusi Nikkei Ryoki Sugita, dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc Tsuneo Kita.

Sambil Asia memerlukan infrastruktur fizikal, kapasiti perindustrian dan teknologi, Najib berkata Asia paling memerlukan modal insan yang dinamik dan berdaya tahan, yang boleh memupuk dan membangunkan bakat insan yang terbaik.

Beliau memuji etika kerja dan kesabaran rakyat Jepun yang akan membantu negara itu pulih dari krisis berkenaan, yang menjadi sebab Malaysia meniru budaya kerja mereka melalui Dasar Pandang ke Timur tidak lama dahulu.

Apa yang penting, ialah Asia berusaha lebih sedikit bagi menangani kemiskinan, melengkapkan dan memperkasakan rakyat melalui pendidikan agar mereka boleh makmur melalui semangat keusahawanan dan menyediakan peluang bagi rakyat mencapai kerjaya yang terbaik dan memberikan ganjaran kepada diri sendiri.

Perdana Menteri berkata, jika Asean, yang merupakan sebahagian dari Asia, menuruti hala tuju yang sama, ia akan muncul sebagai pemain yang lebih kukuh di dalam ekonomi dunia.

“Jika kita terus mengubah suai dan berkembang, ganjarannya sangat hebat, dengan catatan keluaran dalam negara kasar keseluruhan di Asia dijangka mencapai US$148 trilion pada 2050,” katanya, sambil menekankan mengenai keperluan institusi serantau meningkatkan peranan masing-masing.

Bagi pihaknya, katanya Malaysia akan menjadi hos kepada mesyuarat Dewan Perniagaan dan Industri Asean-Japan bagi memupuk satu integrasi serantau yang lebih mendalam dan mampan.

Najib berkata kerjasama yang tetap dan malah yang penting sekali, komunikasi antara satu sama lain akan menjadi sangat penting jika Asia mahu bergerak melangkaui integrasi ekonomi yang mudah dan ke arah mencapai komuniti serantau — dan kini adalah masanya untuk meneroka cara terbaharu untuk bekerja sama.

Beliau menekankan pentingnya bagi negara-negara Asia untuk melihat satu sama lain sebagai rakan di dalam dunia yang sangat berhubung kait dan bersepadu ini berbanding sekutu atau musuh seperti pada masa lepas.

“Jika kita mahu tangani cabaran yang kita hadapi dan berupaya menangani kesukaran, kita tiada pilihan tetapi melakukannya di dalam iklim terbuka dan bersepadu, pergerakan bersatu secara sederhana berbanding dengan mengamalkan dasar perlindungan dan pemencilan.”

“Perkongsian ekonomi yang produktif sedang dizahirkan pada kadar yang pantas,” katanya.

Sambil Malaysia sangat komited sepenuhnya terhadap pencapaian Komuniti Ekonomi Asean yang berdaya maju dan besar menjelang 2015, katanya matlamat itu juga boleh menjadi jambatan bagi negara-negara di rantau ini dan di luarnya.

Tambahan pula, berdasarkan lokasi geografi strategik dan jaringan yang berhubung kait dengan Asean, Najib berkata ia merupakan negara yang ideal untuk memudahkan aktiviti perniagaan ke seluruh rantau ini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply