News_archive

Najib Rasmi Kompleks Baharu Kedutaan Malaysia Di Kemboja

By Thursday December 2nd, 2010 No Comments

PHNOM PENH, 2 Dis (Bernama) — Pembukaan kompleks baharu Kedutaan Malaysia di Kemboja di sini merupakan bukti komitmen berterusan Malaysia bagi mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua buah negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berharap dengan kejayaan menyiapkan projek itu akan menyuntik satu dorongan dan sinergi baru di kalangan mereka yang berkaitan bagi membawa hubungan yang sedia terjalin ke peringkat yang lebih tinggi.

Najib yang berada di negara ini untuk lawatan kerja dua hari berkata beliau amat gembira projek kompleks yang bernilai kira-kira RM87 juta itu siap mengikut jadual dan di dalam lingkungan bajet.

“Sebagai Menteri Kewangan, suka saya menyatakan di sini bahawa kompleks baru itu siap mengikut jadual dan dalam lingkungan bajet,” katanya ketika merasmikan kompleks baru yang terletak di EDat Norodom Boulevard.

Kompleks seluas 1.3 hektar itu mengandungi canseri, kediaman rasmi duta besar, kuarters kakitangan dan dewan serba guna yang dibina pada Mac 2008 dan siap Oktober lalu.

Beliau berpuas hati dengan kemasan berkualiti tinggi kompleks itu yang dibina oleh kontraktor Malaysia.

Najib berkata reka bentuk dan teknologi yang digunakan oleh kontraktor Malaysia untuk membina benteng sempadan kompleks itu di sepanjang Sungai Bassac mungkin menawarkan satu penyelesaian alternatif yang berkesan bagi menangani masalah hakisan tanah di tebing sungai.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Pengiran Mohd Hussein Mohd Tahir Nasruddin.

Selepas itu, Najib dengan diiringi Rosmah merasmikan Bilik Perwakilan yang terletak dalam lingkungan kompleks itu.

Najib tiba di sini Rabu malam menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) keenam di Peace Palace, Pejabat Perdana Menteri Kemboja di sini, Khamis pagi.

Pada permulaan ucapannya, Najib menyampaikan ucapan takziah Malaysia berhubung kematian 351 orang dalam satu kejadian rempuhan di tebing sungai semasa festival air di sebuah jambatan di Sungai Bassac pada 22 November.

Najib mengakhiri lawatan kerjanya dengan merasmikan kompleks baharu itu sebelum berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh di sini pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari (waktu Malaysia: 1.40 tengah hari).

Sumber : Bernama

Leave a Reply