News_archive

Najib: Putrajaya ubah dasar, hanya pelajar ijazah layak biasiswa JPA

By Thursday June 23rd, 2011 No Comments

PETALING JAYA, 23 Jun — Pentadbiran Najib memutuskan untuk menganugerahkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ijazah, bukannya kepada calon cemerlang SPM mulai tahun depan bagi mengelakkan siri masalah yang wujud sebelum ini.

Putrajaya mengumumkan dasar baru ini di sebalik berulangnya rintihan dan kritikan pelbagai pihak mengenai proses pemberian biasiswa JPA kepada 1,500 pelajar baru-baru ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) memberitahu, pelajar-pelajar tingkatan lima yang lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM akan diberi sejumlah kecil bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian peringkat asas.

“Biasiswa hanya akan diperuntukkan jika anda memperoleh keputusan cemerlang (di peringkat pengajian asas) dan mendapat tempat di universiti,” kata Najib ketika ditemu bual oleh stesen radio bahasa Cina One FM pagi ini.

“Memberikan biasiswa di peringkat SPM bukan satu idea baik… hanya kerana anda memperoleh keputusan cemerlang di peringkat O Level tidak bermakna anda akan lulus cemerlang di peringkat A Level,” kata beliau lagi.

Apabila ditanya mengenai universiti-universiti yang dianggap sebagai pusat pengajian tinggi teratas, Najib berkata ia akan dikenali pasti kelak.

Perdana menteri juga menekankan bahawa bukan kesemua pelajar cemerlang akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian luar negara.

“Universiti-universiti di sini juga memerlukan pelajar cemerlang. Di sini, kita mengadu bahawa universiti kita tidak berada di tangga teratas dari segi kedudukan ranking dunia,” kata Najib.

“Pada masa yang sama, kita menekankan mahu menghantar pelajar-pelajar cemerlang kita ke luar negara. Ia bertentangan dengan apa yang kita mahu capai,” katanya lagi.

Sumber : The Malaysian Insider

Leave a Reply