News_archive

Najib Perkenal Dua Platform Interaktif Baru Pada Jun

By Wednesday May 25th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memperkenalkan dua platform interaktif baru pada Jun, satu aplikasi telefon pintar dan perbincangan Meja Bulat 1Malaysia secara online.

Najib berkata aplikasi itu menggabungkan semua platform online beliau termasuk laman web, Facebook dan Twitter supaya orang ramai lebih mudah berhubung dengannya.

“Daripada beralih-alih ke antara-muka yang berbeza-beza, anda kini boleh komen di blog atau Facebook saya, menghantar ‘twitter’, dan mendaftar untuk pertemuan yang akan datang dengan hanya menggunakan satu perisian.

“Insya-Allah, saya akan perkenalkan perisian tambahan ini dalam masa yang terdekat,” katanya dalam entri terbaru blognya bertajuk “Marilah Jadikan Perbincangan Ini Berpanjangan”.

Perdana Menteri berkata orang ramai boleh membincangkan pemikiran-pemikiran yang dapat menyumbang ke arah pembangunan negara dengan dibimbingi oleh pakar-pakar tempatan yang sememangnya ahli di dalam pelbagai bidang mereka dalam perbincangan Meja Bulat.

“Saya amat gembira tentang perbincangan Meja Bulat 1Malaysia secara online melalui 1Malaysia.com.my.

Anda tentu tahu, saya sentiasa ikhlas bahawa penglibatan secara langsung antara saya dengan anda itu amat penting bagi saya. Namun begitu, saya juga menyedari bahawa masa saya amat terbatas, dan saya perlu meluangkan waktu kepada beberapa tugas lain setiap hari.

“Oleh kerana itulah, saya kemukakan cadangan perbincangan Meja Bulat ini. Pakar-pakar bidang ini akan membantu kita dalam membentuk perbincangan online ini dan berkongsi pemikiran anda dengan saya,” katanya.

Najib berkata beliau tidak berhasrat berbincang lanjut tentang dua platform ini tetapi berharap rakyat Malaysia akan gembira dapat menggunakannya tidak lama lagi.

“Ada beberapa lagi perancangan menarik sedang menunggu, tetapi yang paling mustahak, saya harap anda dapat menggunakan peluang ini sebijak mungkin. Bantulah saya untuk menjadikan negara kita bertambah makmur, berpendapatan tinggi dan maju sepenuhnya yang dapat kita banggakan bersama-sama.

“Seperti biasa, pemikiran anda amat dialu-alukan. Marilah jadikan perbincangan ini berpanjangan!,” katanya.

Najib berkata beliau telah meningkatkan interaksi dengan rakyat melalui beberapa pendekatan baru untuk melibatkan rakyat dengan lebih kerap lagi.

“Saya telah mula menjadi tuan rumah kepada pertemuan-pertemuan dengan rakan-rakan online di seluruh negara, menambah interaksi saya di Twitter dengan menjawab ‘tweet’ anda pada setiap peluang yang ada, malahan saya menjadi tetamu wawancara di radio!.

“Bulan ini jadual saya begitu padat dengan lawatan-lawatan ke Indonesia, Arab Saudi, Qatar, Amerika Syarikat, United Kingdom dan yang terbaru di Jepun.

Oleh hal yang demikian, saya tidak dapat berjumpa dengan anda seramai yang saya harapkan.

“Namun begitu, itu tidak bermakna interaksi kita terhenti. Banyak kerja dikendalikan bagi memastikan dialog 1Malaysia terus berjalan seperti selalunya,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply