News_archive

Najib perjelas 1Malaysia dari segi pelaksanaan, penerapan

By Sunday June 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 15 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi penjelasan mengenai gagasan “IMalaysia” dari segi pelaksanaan dan penerapannya kepada masyarakat majmuk di negara ini serta bagaimana gagasan ini akan dapat lebih bermanfaat dalam menterjemahkan kejayaan Wawasan 2020.

Beliau berkata sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April lepas, konsep 1Malaysia diketengahkannya dan perkara itu sering dibincang dan dibahaskan di kalangan rakyat di semua peringkat.

“Malah pihak pembangkang tidak membuang masa untuk memutarbelit dan mentafsirkan gagasan ini mengikut definisi mereka sendiri, semata-mata dengan niat mengelirukan rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

“Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply