News_archive

Najib Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bumiputera Sabah, Sarawak Bulan Depan

By Saturday January 22nd, 2011 No Comments

PENAMPANG, 22 Jan (Bernama) — Jawatankuasa Kabinet Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan mesyuarat bulan depan bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit, terutama masalah sekolah mubaligh Kristian di kedua-dua negeri itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok, yang juga pengerusi jawatankuasa teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak, berkata beliau telah membawa segala cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak di kedua-dua negeri itu khususnya isu yang berkaitan dengan sekolah mubaligh Kristian untuk pertimbangan kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat memberi reaksi yang positif dan sedia mengambil kira cadangan dan pandangan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Pusat Sumber Sekolah, Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis, dekat sini pada hari Sabtu.

Dompok, yang juga anggota Parlimen Penampang, berkata kerajaan Pusat begitu serius untuk membantu sekolah mubaligh Kristian di Sabah dan Sarawak.

Katanya ini terbukti apabila kerajaan Pusat bersetuju menjadikan mata pelajaran pengetahuan Alkitab (Bible Knowledge) sebagai satu daripada mata pelajaran pilihan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini.

“Kerajaan juga membenarkan bangunan sekolah mubaligh Kristian digunakan untuk sesi belajar pengetahuan Alkitab selepas waktu persekolahan,” katanya.

Mengenai pelantikan pengetua, guru besar dan guru kanan di sekolah-sekolah mubaligh Kristian, Dompok berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Jelas sekali pengwujudan sekolah-sekolah mubaligh Kristian ini memberi banyak manfaat kepada para pelajar atau murid terutama di kawasan luar bandar.

“Menyedari keadaan ini, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membantu sekolah-sekolah berkenaan khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dompok berkata sekolah mubaligh Kristian memainkan peranan penting dalam arena pendidikan negara terutama dalam memartabatkan Bahasa Malaysia.

Beliau berharap sekolah jenis itu turut memberi tumpuan kepada usaha memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa yang penting.

Sumber : Bernama

Leave a Reply