News_archive

Najib Pengerusi Mesyuarat Pertama Majlis Inovasi Negara Bagi 2011

By Monday February 14th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Inovasi Negara (NIC) bagi tahun ini di sini.

Najib dalam perutusannya di mesyuarat yang dihadiri 28 anggota majlis, menegaskan tentang pentingnya inovasi dalam melonjakkan produktiviti dan daya saing negara serta memacu agenda transformasi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau juga menegaskan tentang keperluan mengkaji kelemahan struktur institusi inovasi dalam konteks ekosistem inovasi negara, menurut NIC dalam kenyataan di sini.

Selain itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan mewujudkan kesinambungan yang sempurna dalam pembangunan modal insan inovatif melalui sistem pendidikan negara, menurut kenyataan itu.

Najib turut menggesa supaya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran bersama institusi-institusi yang berkaitan agar mengkaji jurang yang wujud dalam pembangunan modal insan dari peringkat sekolah rendah dan cara-cara mengatasinya dengan kaedah terbaik.

Mesyuarat itu membincangkan lima kertas kerja, termasuk Agenda Inovasi Negara: Memperkukuhkan Peranan Majlis Inovasi Negara bagi Menyokong Pertumbuhan Diterajui Inovasi dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) serta laporan penganjuran dan pencapaian program Malaysia Inovatif 2010 yang akan diteruskan pada tahun ini.

Mengenai usaha melahirkan pelajar yang inovatif, Perdana Menteri menyatakan bahawa mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris merupakan subjek terpenting yang perlu diberi penekanan di sekolah.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada tahun ini akan mengadakan Program Penggalakan Sains dan Matematik yang bertemakan ‘Go Science, Love Maths’ untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya Sains dan Matematik di kalangan rakyat Malaysia.

Menurut kenyataan itu, tahun 2012 akan diisytiharkan sebagai Tahun Sains Negara selain mempertingkatkan Program Penggalakan Sains dan Matematik.

Sumber : Bernama

Leave a Reply