News_archive

Najib Pemimpin Yang Komited Terhadap Pembangunan Luar Bandar, Kata Taib Mahmud

By Saturday January 15th, 2011 No Comments

BELAGA, 15 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak adalah seorang pemimpin yang mengambil risiko yang besar untuk membawa pembangunan ke kawasan terpencil di luar bandar di negara ini, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ini terbukti daripada jumlah besar peruntukan yang beliau sediakan untuk pembangunan luar bandar, kata Taib sebelum Perdana Menteri merasmikan Klinik Kesihatan Belaga yang bernilai kira-kira RM46 juta di sini hari ini.

“Ada ketikanya saya berasa bimbang dengan peruntukan sangat besar yang beliau sediakan untuk memenuhi harapan rakyat.

“… dan beliau tidak mudah menyerah kalah. Beliau mempunyai azam yang sangat kuat untuk melihat yang apa dirancang dilaksanakan dengan jayanya,” kata Taib.

Beliau berkata bukanlah tugas yang mudah untuk membawa pembangunan ke “batas paling hujung” apabila pengangkutan sahaja menjadi komponen yang sangat besar dalam kos keseluruhan.

Taib berkata rakyat perlu menghargai komitmen ini dan sentiasa memberi Najib “sokongan penuh” mereka.

Beliau mengucapkan terima kasih kasih kepada Perdana Menteri kerana pembinaan jalan Ba Kelalan-Lawas di bawah program “Jiwa Murni” angkatan tentera.

Beliau berkata jalan berkenaan, yang dijangka siap bulan depan, akan membolehkan penduduk dari pedalaman Ba Kelalan untuk pergi ke pekan Lawas, kedua-duanya dalam Bahagian Limbang, dalam masa tiga hingga lima jam dengan berkereta.

Penduduk kampung kini terpaksa berjalan kaki dua minggu sebelum sampai ke pekan berkenaan.

Dengan bantuan tentera, kurang daripada RM60 juta telah pun dibelanjakan untuk membangunkan jalan berkenaan yang dianggarkan berharga RM400 juta.

Sumber : Bernama

Leave a Reply