News_archive

Najib, pemimpin pembangkang perlu bincang

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 17 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berbincang dengan semua parti dalam pakatan pembangkang sebelum memutuskan sebarang kerjasama mengenai isu kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapha Ali berkata, perbincangan antara Pas dan UMNO tidak akan berlaku selagi Najib belum membuat pertemuan dengan pemimpin parti pembangkang lain.

Jelasnya, isu kerajaan perpaduan itu bukan perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan pertemuan dua parti sahaja.

“Najib perlu berjumpa dengan pemimpin DAP dan PKR. Konsep kerajaan perpaduan ini masih dibincangkan dan perlu mendapat persetujuan bersama.

“Ini isu besar. Ada isu yang boleh diputuskan satu parti saja, namun isu ini memerlukan persetujuan semua,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Beliau mengulas keyakinan Najib semalam terhadap keikhlasan Pas berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Justeru, Najib tetap dengan pendiriannya untuk mengamalkan sikap terbuka dan pada masa yang sama, bersedia mendengar serta mempertimbangkan apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh Pas.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau tidak menolak segala bentuk kerjasama yang akhirnya boleh memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Mustapha menjelaskan, kesetiaan Pas kepada pakatan pembangkang selama ini tidak harus dipertikaikan mana-mana pihak.

“Kita setia dengan pakatan pembangkang dan kerana itu, Najib juga perlu berbincang dengan pemimpin berkaitan untuk mendapat satu kata mengenai isu ini.

“Kefahaman konsep ini juga perlu lebih jelas supaya tiada pihak tersalah anggap dan memberi pengertian yang salah terhadap isu berkaitan,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang konsep kerajaan perpaduan yang hendak diperkenalkan Pas, Mustapha berkata: “Hanya satu kerajaan tanpa pembangkang, sebarang masalah pula hanya perlu penyelesaian dalaman sahaja.”

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply