News_archive

Najib Pelawa Orang Ramai Sertai Perbincangan Meja Bulat Mengenai Bajet 2011

By Tuesday July 5th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa orang ramai mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat berkaitan Bajet Negara 2012 bertajuk ‘A Budget for Sustainable Growth’ menerusi blog beliau www.1malaysia.com.my

Beliau berkata orang ramai masih boleh memberi pendapat mengenai tajuk itu dengan menyertai perbincangan meja bulat tersebut yang kini berbaki 13 hari.

Dalam entri terbaru dalam blog beliau, Najib berkata sepanjang dua tahun pentadbirannya, beliau telah mengambil pendekatan yang lebih terangkum terhadap pembentukan dasar.

“Salah satu contohnya ialah perumusan Bajet Negara. Bagi Bajet 2010 dan 2011, saya telah mendapatkan input daripada rakyat dengan mempelawa semua rakyat Malaysia untuk mengemukakan idea dan cadangan menerusi blog saya untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Najib berkata dalam Bajet 2011, rakyat boleh dapati bahawa melalui kaedah itu, kerajaan telah membentangkan beberapa cadangan termasuk memperkenalkan dasar gaji minimum, skim bantuan kewangan untuk golongan muda dan keluarga serta pelaburan dalam teknologi hijau yang diilhamkan daripada hasil input dari rakyat Malaysia.

“Tahun ini, perumusan Bajet juga perlu mengambil kira satu fenomena global: kos makanan dan petrol yang semakin meningkat.

“Peningkatan jumlah penduduk dunia secara pantas, ditambah pula dengan usaha berterusan pelbagai negara untuk mencapai kemajuan dan perindustrian telah meningkatkan penggunaan bahan bakar dan makanan,” katanya.

Pada masa yang sama, kata Perdana Menteri, para pengeluar makanan dan bahan bakar sedang bergelut untuk memenuhi permintaan pengguna dan cabaran perubahan iklim dunia.

Menurutnya masalah itu bukan dihadapi oleh Malaysia sahaja, malah banyak lagi negara lain yang lebih terancam akibat situasi itu dan semakin ramai penduduknya yang diselubungi kemiskinan.

“Sungguhpun kerajaan masih mengekalkan subsidi yang besar terhadap beberapa barangan utama untuk meringankan bebanan kewangan rakyat, namun adalah tidak munasabah untuk kekal sebegini sedang kita berusaha untuk mencapai pertumbuhan ekonomi.

“Perlu diingat bahawa Malaysia sedang berusaha ke arah menjadi sebuah negara berstatus maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, dengan pendapatan per kapita US$15,000 dan negara juga sedang berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis kewangan 2008,” katanya.

Perdana Menteri juga mengemukakan tiga soalan untuk dibincangkan bersama-sama orang ramai dalam perbincangan meja bulat itu iaitu:

Apakah bidang atau golongan rakyat yang perlu diberi perhatian dalam Bajet 2012 yang boleh menjamin pertumbuhan jangkamasa panjang dan berdaya kekal?

Adakah Bajet ini lebih wajar tertumpu kepada kebajikan rakyat atau pembangunan ekonomi? Kebaikan jangka pendek atau jangka panjang?

Bagaimanakah Kerajaan boleh meningkatkan lagi ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan Bajet ini?

Sumber : Bernama

Leave a Reply