News_archive

Najib Nasihat Wanita Rebut Peluang Untuk Maju

By Wednesday March 7th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan kaum wanita di negara supaya merebut peluang yang disediakan oleh untuk meraih kemajuan lebih besar.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan sebahagian besar kemajuan yang telah dicapai di Malaysia diraih dengan kerjasama kaum wanitanya.

“Kerajaan telah mengiktiraf peranan wanita sejak Merdeka lagi, dan disebabkan itu, program-program untuk wanita sentiasa menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan sosio-ekonomi kita,” katanya.

Najib berkata demikian dalam entri terbaru beliau bertajuk ‘Kemajuan Wanita, Kemajuan Malaysia’ dalam blog www.1Malaysia.com sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa esok seperti yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau berkata kaum wanita di negara ini perlu menjadikan tokoh-tokoh wanita daripada generasi terdahulu sebagai inspirasi.

Antara tokoh yang disebut Perdana Menteri ialah Allahyarhamah Tun Dr Fatimah Hashim, Tan Sri Dr Devaki Krishnan, Profesor Datuk Dr Mazlan Othman, Judy Cheng-Hopkins, mendiang Datuk Seri Tra Zehnder, Datuk Agnes Shim, Datuk Nicol David dan Datuk Michelle Yeoh.

Najib menarik perhatian bahawa jumlah pekerja wanita kini bukan sahaja hampir sama dengan jumlah pekerja lelaki, malah jenis pekerjaan yang dipegang oleh mereka juga turut membanggakan.

Beliau memetik Laporan Perniagaan Antarabangsa Grant Thornton tahun lepas yang meletakkan Malaysia di kedudukan bersama kesembilan di dunia untuk jumlah jawatan pengurusan kanan yang dipegang oleh wanita, iaitu 31 peratus.

“Kita juga mempunyai beberapa wanita yang memegang jawatan pucuk pimpinan di dalam kerajaan, membentuk dasar-dasar ekonomi dan kewangan negara, seperti di Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Bank Negara,” katanya.

Sektor pendidikan juga, katanya, memperlihatkan pertumbuhan penyertaan kaum wanita yang amat memberangsangkan.

“Tahukah anda bahawa pada tahun 1959 hanya satu daripada setiap 10 mahasiswa tempatan adalah wanita? Hari ini, lebih daripada enam dari 10 pemegang ijazah kelas pertama adalah wanita. Malah, kita kini berhadapan dengan cabaran untuk meningkatkan kadar enrolmen dan pengekalan pelajar lelaki pula,” kata Najib.

Perdana Menteri berkata dalam perjalanan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi yang maju, Malaysia berjaya menutup jurang perbezaan antara jantina dalam pembangunan ekonomi negara, dengan 46.1 peratus daripada wanita di Malaysia kini bekerja.

Katanya kerajaan mensasarkan penyertaan kaum wanita dalam pasaran kerja dapat ditingkatkan kepada 55 peratus menjelang 2015.

“Saya percaya anda mempunyai masa hadapan yang lebih cerah,” katanya.

Perdana Menteri turut mengalu-alukan masyarakat untuk berkongsi dengan beliau sebarang idea atau cadangan untuk meningkatkan pembangunan wanita di Malaysia.

“Wawasan 2020 adalah satu usaha kolektif dan kejayaan semua rakyat Malaysia dipandu oleh prinsip-prinsip 1Malaysia yang menyeluruh,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply