News_archive

Najib Mula Laksana Perubahan Yang Dijanjikan

By Sunday April 26th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Tidak sampai tiga minggu selepas menyandang jawatan Perdana Menteri pada 3 April, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah melaksanakan beberapa perubahan besar seperti yang beliau janjikan kepada rakyat.

Ini termasuk menyemak semula beberapa dasar dan meliberalisasi beberapa sektor ekonomi bagi mewujudkan peluang saksama bagi semua golongan.

Beliau juga mengumumkan pelbagai perubahan besar daripada segi dasar termasuk memansuhkan beberapa peraturan yang sebelum ini digubal bagi memberi kelebihan kepada Bumiputera tetapi yang dilihat menyekat kemajuan proses keusahawanan dan kemasukan pelaburan asing.

Perubahan ini termasuk pemansuhan segera syarat pemilikan 30 peratus oleh Bumiputera berkaitan pelaburan dalam sesetengah sektor perkhidmatan bagi membantu melonjakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara.

Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada sektor berkenaan, termasuk sektor perkhidmatan komputer dan penjagaan kesihatan.

Selain perubahan itu, Najib juga mengumumkan bahawa lima firma undnag-undang asing akan dibenar menawarkan perkhidmatan dalam bidang kewangan Islam di negara ini.

Berikutan pelaksanaan langkah itu, ahli ekonomi dan penganalisis kini memerhati sama ada kerajaan akan meliberalisasikan lebih banyak sektor, terutama sektor lebih sensitif seperti peruncitan dan perbankan, yang juga dikenakan syarat pemilikan tertentu. Bagaimanapun, setakat ini, kerajaan nampaknya cuba mengelak daripada berbuat demikian bagi mengelak wujudnya libasan balas politik.

Bagaimanapun, berdasarkan ketangkasan dan kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pentadbiran baru ini, mereka kelihatan tetap berhasrat untuk meliberalisasi sektor tersebut bagi menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur.

“Sebenarnya, kami amat gembira kerana beberapa keputusan yang berpandangan jauh dilaksanakan dengan cepat sejak beliau menjadi perdana menteri. Jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tindakan ini akan memberi kesan positif terhadap sentimen, lebih-lebih lagi keyakinan pelabur.

“Belum sampai 100 hari, sudah ada perubahan yang menyegarkan. Jika ada kesungguhan, ia boleh dicapai dalam tempoh tidak sampai 100 hari,” kata ketua ahli ekonomi RAM Consultancy Service Dr Yeah Kean Leng.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970-an bagi mewujudkan agihan kekayaan negara secara adil dalam kalangan rakyat negara ini. Dalam melaksanakan dasar ini, kerajaan mensyaratkan syarikat memenuhi peratusan tertentu daripada segi pemilikan oleh Bumiputera serta kuota penyertaan kaum itu.

Bagaimanapun, pelabur asing mendapati dasar ini memberi sekatan tertentu terhadap perniagaan mereka.

Penganalisis politik berkata Najib memiliki keberanian dan kesungguhan untuk meneruskan pemansuhan langkah afirmatif ini kerana beliau sedar tentang implikasinya daripada segi politik dan tahu bahawa ia merupakan satu-satunya cara untuk bergerak maju, terutama dalam mengharungi suasana ekonomi global yang begitu buruk sekarang.

Lebih penting lagi, perubahan yang dilakukan oleh beliau memenuhi harapan yang terpendam sejak sekian lama di sanubari rakyat kerana ia adalah langkah yang mampu membawa kemajuan kepada negara kecil pelbagai kaum ini, yang masih terlalu bergantung pada sumber asli, perladangan dan pembuatan sebagai sumber utama pendapatan mereka.

“Ini sesuatu yang praktikal. Tidak ada pilihan lain lagi. Sama ada kita mencubanya atau kita tunggu ia lenyap begitu saja,” kata James Wong, bekas ahli politik yang kini menjadi penganalisis politik.

Najib meneruskan lagi agenda pembaharuannya hari ini apabila beliau membenarkan orang asing memegang saham sehingga 70 peratus dalam sektor insurans dan perbankan pelaburan sebagai sebahagian daripada langkah untuk memantapkan industri kewangan melalui pakej meliberalisasi ekonomi.

Tindakan terbaru ini dilihat seiring dengan janji yang beliau suarakan semasa ditemubual oleh Financial Times, sejurus sebelum beliau menjadi perdana menteri, bahawa beliau mahu membebaskan Malaysia daripada pergantungan terhadap eksport barangan elektronik dan komoditi.

Ketika wakil rakyat pembangkang dan parti politik menjangka lebih banyak pembaharuan dilaksanakan oleh Najib, Anggota Parlimen DAP Tony Pua menyifatkan pengumuman Najib itu hanya sebagai “langkah anak kecil” ke arah menghapuskan lingkaran dasar yang telah sejak sekian lama menyekat pelaburan.

Walaupun wujud tanggapan kononnya kerajaan tidak bersedia untuk menghapuskan dasar yang menguntungkan Bumiputera kerana bimbang mereka akan diketepikan, sedangkan merekalah yang memberi sokongan besar kepada parti pemerintah, tetapi beberapa ahli politik percaya Najib akan meneruskan perubahan yang ingin dibawanya, sekali pun beliau terpaksa berdepan dengan kritikan daripada parti yang beliau terajui.

Seperti kata Anggota Parlimen dari Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, rakyat tidak seharusnya terlalu gusar tentang perubahan yang dilaksanakan oleh Najib, tetapi sebaliknya perlu memainkan peranan masing-masing secara positif bagi mendepani cabaran ini.

“Kita kena beri tumpuan terhadap usaha memakmurkan ekonomi dan kurangkan politiking, jika kita sayangkan negara ini dan menyayangi satu sama lain. Usaha keras beliau (Najib) dan Barisan Nasional ini akan dihakimi oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Oleh itu, berilah peluang kepada pentadbiran Datuk Seri Najib untuk melaksanakan tugasnya. Bagi pihak kita, marilah kita berusaha untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai suatu bangsa yang kuat dan jangan biarkan sebarang dasar memecahbelahkan kita,” kata Nur Jazlan dalam laman webnya.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply