News_archive

Najib Mula Bertugas Selepas Jalani Pembedahan Lutut

By Monday August 8th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin kembali bertugas selepas menjalani pembedahan di lutut kirinya di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin lepas yang cedera akibat bersukan.

Berkemeja lengan panjang warna putih, bertali leher biru dan berkot hitam, Perdana Menteri yang tiba di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra pada 9 pagi, kelihatan sihat dan ceria.

Beliau kemudian mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang bermula 9.30 pagi.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah serta Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Najib kembali bertugas setelah doktor yang merawatnya berpuas hati dengan proses penyembuhan.

“Bagaimanapun, doktor masih menasihatkan beliau agar tetap mengehadkan aktiviti harian pada waktu ini sehingga Perdana Menteri pulih sepenuhnya,” kata kenyataan itu.

Antara program beliau hari ini ialah menghadiri majlis berbuka puasa bersama jemaah menteri, menteri besar dan bekas perdana menteri di Seri Perdana di sini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply