News_archive

Najib Minta Syarikat Korporat Terus Beri Sumbangan Kepada Aktiviti Sukan

By Friday December 9th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat mempelawa syarikat-syarikat korporat supaya terus menghulurkan sumbangan kepada penganjuran acara sukan di negara ini.

Perdana Menteri berkata penajaan syarikat korporat terhadap sesuatu acara sukan merupakan peluang pelaburan yang berkesan melalui jenama mereka di samping secara tidak langsung membantu menjana pendapatan negara.

“Sumbangan pihak korporat itu seharusnya tidak dilihat sebagai sumbangan kebajikan semata-mata tetapi sebaliknya harus dilihat dari segi nilai komersialnya,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA Indonesia 2011 di Stadium Juara, Bukit Jalil, di sini, Jumaat.

Najib berkata aktiviti sukan dapat melahirkan generasi yang cerdas minda dan membentuk rakyat yang produktif di samping menjadi alat yang berkesan untuk memupuk perpaduan nasional.

Menyentuh mengenai kejayaan atlet negara pada Sukan SEA, Najib berkata ia secara tidak langsung mewujudkan satu semangat cintakan negara yang jitu di kalangan rakyat.

“Saya sendiri dapat merasai ‘feel good factor’ (faktor suasana ceria) itu. Kalau pasukan Malaysia menang, saya punya semangat pun naik semacam, sebaliknya kalau pasukan kita kalah, semangat saya pun merudum.

“Semangat skuad negara, iaitu semangat negara boleh terbangun melalui kejayaan dalam bidang sukan,” katanya.

Misalnya, Najib berkata, ketika Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur semasa beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kedudukan tempat kedua keseluruhan negara pada temasya sukan itu telah melonjakkan semangat rakyat yang ketika itu dilanda kemelut kegawatan ekonomi.

“Pada ketika itu, negara berada dalam keadaan semangat yang tidak begitu tinggi sebab kita baru sahaja melalui kemelut kegawatan ekonomi dan kita berdepan dengan satu-dua masalah yang lain.

“Namun apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan kita telah meraih kejayaan tempat kedua, semangat negara kita telah melonjak ke tahap yang saya sendiri tidak dapat bayangkan.

“Sukan adalah satu wahana yang penting, sebab itu kita lihat dari sudut individu mereka yang menjadi pengamal sukan faham betapa pentingnya nilai gaya hidup yang sihat,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 91 atlet yang membantu kontinjen Malaysia meraih 59 pingat emas pada Sukan SEA edisi ke-26 di Palembang dan Jakarta menerima habuan masing-masing daripada Najib.

Pemain boling kebangsaan, Adrian Ang menjadi atlet yang menerima habuan terbanyak iaitu RM20,333 selepas berjaya meraih empat pingat emas dalam acara Masters, beregu, trio dan berpasukan lelaki.

Sumber : Bernama

Leave a Reply