News_archive

Najib Minta Pemukiman ADUN BN Diteruskan

By Friday January 13th, 2012 No Comments

BUKIT GANTANG, 13 Jan (Bernama) — Selepas kejayaan Kelab Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (ADUN BN) menganjurkan program pemukiman di Selangor dan Perak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar kelab itu melakukan pemukiman yang serupa di negeri lain.

“Kalau ada masa kita buat lagi (pemukiman)…tak tahu bila pilihan raya umum…buat kerja sajalah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan perasmian Pemukiman Kelab ADUN BN di Simpang, di sini.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata melalui program itu, ia adalah waktu yang tepat untuk setiap wakil rakyat menunjukkan corak kepimpinan mereka untuk dinilai rakyat.

“Inilah nak tunjuk kepada kita macam mana orangnya wakil rakyat, kerja kuat ke tidak, amanah ke tidak, kerja baik ke tidak, inilah ujian kita, waktu kita ada kuasa.

“Sebab tu saya nak kita semua dekat di hati rakyat. Biar kita buat pemukiman ini kerana kita nak tunjukkan bahawa BN wakil rakyatnya dekat di hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata kehadiran kira-kira 30,000 ke majlis malam ini menunjukkan keberkesanan program pemukiman itu dan penerimaan rakyat kepada parti BN semakin meningkat.

“Ini petanda baik bagi Barisan Nasional,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh dari hadirin.

Program pemukiman Kelab ADUN BN yang berlangsung selama tiga hari di negeri ini bermula Khamis melibatkan 135 ADUN daripada seluruh negara.

ADUN terlibat ditempatkan di 135 kampung di lapan kawasan Parlimen di Perak.

Sumber : Bernama

Leave a Reply