Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib mahu temui Mahathir, Abdullah - Najib Razak
News_archive

Najib mahu temui Mahathir, Abdullah

By Sunday March 29th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 28 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu bertemu dua negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan masalah serta masa depan parti dan negara.

Presiden UMNO yang baru itu berkata, beliau telah memohon untuk mengadakan perjumpaan dengan kedua-dua bekas Presiden parti itu mengenai perkara tersebut demi kepentingan semua pihak.

“Walaupun mungkin pertemuan pertama kekok sedikit tetapi lama-kelamaan kemesraan akan terjalin. Insya-Allah, yang penting bukan perasaan diri tetapi yang penting ialah masa depan UMNO dan negara kita.

“Kalau pemimpin seperti negarawan tunjuk teladan yang baik, kita boleh rapatkan barisan dan yang di bawah boleh ikut bersama dan terus mendapat inspirasi dari isyarat-isyarat yang ditunjukkan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penerimaan jawatan sebagai Presiden UMNO dan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengejutkan para perwakilan apabila muncul ketika Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib berkata, beliau berasa begitu bangga dengan kehadiran Dr. Mahathir dalam persidangan itu dan cuba mentafsir kehadirannya namun percaya, dalam hati kecil dan darah bekas Perdana Menteri itu mengalir darah UMNO.

Beliau berkata, parti menghadapi banyak cabaran tetapi sekiranya pemimpin dan negarawan bersama-sama mendukung perjuangan UMNO dan memberi ideanya untuk mengatasinya serta tidak mengkritik secara terbuka, masa depan parti akan dapat dipertahankan.

Katanya, negarawan-negarawan yang berpengalaman boleh mengkritik secara baik di peringkat dalaman parti kerana UMNO adalah parti yang pernah berjasa kepada pemimpin, ahli-ahli dan negarawan berkenaan.

“Sudah sampai masanya bila kita jadi pemimpin, ahli-ahli setia kepada kita; bila kita sudah bersara, kita pertahankan parti yang pernah berjasa kepada kita,” ujar beliau.

Najib berkata, itu adalah prinsipnya selain kehendak para perwakilan dan beliau percaya, ia boleh jadikan kenyataan.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, sekiranya Dr. Mahathir kembali menyertai UMNO, ia boleh mencetus perpaduan baru dalam parti dan memacu parti ke hadapan.

“Maknanya, kalau Tun kembali ke parti, dia beri satu pengakuan kepada parti. Saya percaya Tun boleh beri pandangan dan nasihat dari semasa ke semasa. Sebab itu saya sudah mengajukan untuk berjumpa dengan kedua-dua negarawan (Dr. Mahathir dan Abdullah) untuk membincangkan masa depan parti dan negara,” katanya.

Beliau berkata, ada peranan tertentu yang boleh dimainkan oleh kedua-dua mereka dalam pentadbiran beliau selepas ini namun perinciannya akan ditentukan selepas beliau mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Reply