News_archive

Najib Mahu Semua Calon BN Berusaha Hingga Ke Saat Akhir, Kata Wong

By Friday April 15th, 2011 No Comments

SIBU, 15 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta semua calon Barisan Nasional (BN) di Sibu untuk berusaha sehingga ke saat akhir disebalik berdepan persaingan sengit untuk meraih sokongan masyarakat Cina.

Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri Datuk Sri Wong Soon Koh, yang juga pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu berkata Najib menasihatkan mereka supaya bekerja lebih kuat dan membawa sebanyak yang boleh pengundi ke pusat mengundi esok.

Bercakap kepada pemberita di sini pada Jumaat, Wong yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, yang dimenanginya sejak 1991, berkata beliau menyerahkan kepada keikhlasan dan kematangan pengundi untuk membuat pilihan mereka.

“Kami sudah memasuki peringkat akhir tempoh berkempen. Rakyat perlu berfikir dua kali dan semasak-masaknya dalam menentukan apa yang terbaik buat mereka dan masa depan mereka,” katanya yang sebelum itu menghantar Najib ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas melawat Kapit dan Song, kawasan terakhir dilawati perdana menteri sempena lawatan kerja empat hari beliau ke Sarawak sejak Selasa lepas.

Mengenai peluang tiga lagi calon SUPP yang bertanding di DUN Pelawan, DUN Dudong dan DUN Bukit Assek, Wong berkata sukar diramalkan.

Bagaimanapun, Wong optimis mempertahankan kerusinya kerana kebanyakan pengundi Bumiputera di kawasannya iaitu masyarakat Iban (30 peratus daripada 16,743 pemilih berdaftar), masih bersamanya.

Katanya peluang Chieng Buong Toon, yang menentang pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng di DUN Bukit Assek, sukar diramalkan.

Mengenai pembangkang, katanya mereka hanya bijak memainkan isu dalam kempen mereka bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

“Kecuali satu atau dua isu utama, lainnya hanyalah berupa tuduhan dan kenyataan memfitnah bagi mendorong rakyat menentang kerajaan.

“Politik jenis ini amat berbahaya kepada negeri ini yang selama ini terkenal sebagai aman, stabil dan penduduk pelbagai etnik hidup penuh harmoni,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply