News_archive

Najib Mahu Negara Kuasa Besar Bantu Redakan Keadaan Di Semenanjung Korea

By Thursday November 25th, 2010 No Comments

JOHOR BAHARU, 25 Nov (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis meminta negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China memainkan peranan bagi meredakan keadaan di Semenanjung Korea akibat serangan artileri Korea Utara terhadap Pulau Yeonpyeong di Korea Selatan.

Najib berkata beliau percaya kedua-dua negara berkenaan mempunyai pengaruh masing-masing yang boleh membawa kepada usaha memulihkan konflik dan ketegangan.

“Kita sarankan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China memainkan peranan untuk meredakan keadaan supaya tidak menjadi lebih tegang. “Kalau ketegangan bertambah, maka sudah tentu ianya bukan sahaja menjejaskan pemulihan ekonomi serantau tetapi global,” katanya selepas merasmikan Produk Asiaflex, di Kompleks Industri Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

Perdana Menteri turut berharap Korea Utara dan Korea Selatan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik memandangkan konflik ketenteraan tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Sementara itu, ketika diminta mengulas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor diteruskan, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu membuat kajian mengenainya.

“Kita kena kaji dulu sebab ada banyak implikasi dari segi perundangan, kos dan juga tanggungjawab dari segi kerajaan pusat dan kerajaan Singapura,” jelasnya.

Sultan Ibrahim pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52, Isnin lepas, bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.

Baginda bertitah ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir sekaligus memberikan kesan yang baik terhadap alam sekitar di sekelilingnya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Perdana Menteri turut merasmikan program MyKasih oleh Technip Malaysia yang bertujuan membantu kebajikan golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Program berkenaan sudah diwujudkan lebih setahun lepas di Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur dengan setiap keluarga yang terlibat diberikan bantuan RM40 setiap dua minggu sekali bagi membeli barangan keperluan menerusi MyKad.

Di Johor, 50 keluarga di sekitar Pasir Gudang sudah dikenal pasti sebagai penerima bantuan menerusi program berenaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply