News_archive

Najib Mahu Kerjasama Syarikat Bumiputera Ditingkatkan

By Saturday February 11th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerjasama antara syarikat-syarikat Bumiputera sama ada di dalam bidang yang sama atau berlainan dapat dipertingkatkan untuk kebaikan berterusan usahawan berkenaan.

Merujuk kepada kejayaan penganjuran Anugerah Astro Awani dan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (ICT NEF-AWANI 2011) dan acara sampingan Karnival ICT NEF-AWANI, Perdana Menteri berkata program hasil kerjasama syarikat-syarikat Bumiputera itu amat membanggakan.

“Ini adalah satu contoh kerjasama yang saya harap dapat berlangsung secara berterusan bukan sahaja pada komuniti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) tetapi juga kepada komuniti ekonomi yang lain.

“Saya amat berharap agensi-agensi kerajaan yang mempunyai fokus dalam pembangunan Bumiputera secara langsung atau tak langsung seperti Teraju, MARA, AIM, MDeC, Cradle serta GLC seperti TM dapat memberi sokongan yang penuh kepada NEF agar usaha murni persatuan ini dapat dipanjangkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan video khas Perdana Menteri yang ditayangkan pada malam kemuncak Anugerah ICT NEF-AWANI 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Anugerah itu, yang memulakan pencalonan mulai 31 Okt hingga 30 Nov lepas, dianjurkan Astro Awani dan NEF dengan tujuan menyediakan platform bagi syarikat Bumiputera untuk mendapat pengiktirafan dan pendedahan, demikian menurut NEF.

Mengenai Anugerah ICT NEF-AWANI yang memasuki tahun kedua penganjurannya, Najib berkata ia merupakan satu anugerah yang memang lain daripada yang lain serta mempunyai hala tuju dan niat amat strategik daripada segi pendekatannya dalam membangunkan syarikat-syarikat ICT Bumiputera.

Perdana Menteri juga mengakui bahawa NEF merupakan satu-satunya persatuan Bumiputera yang memperjuangkan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang berjaya memasuki peringkat akhir serta pemenang anugerah yang menunjukkan syarikat Bumiputera mempunyai potensi bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Sambil memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis itu, Perdana Menteri berjanji akan meluangkan masa bertemu dengan para pemenang seperti yang dilakukannya tahun lepas.

“Oleh kerana pada tahun lepas, saya telah berpeluang untuk minum teh dan bersembang bersama dengan pemenang-pemenang anugerah.

“InsyaAllah saya akan membuat perancangan bersama pihak NEF untuk mengatur satu sesi minum petang khas bersama pemenang-pemenang malam ini pada tarikh yang akan ditentukan,” katanya.

Kira-kira 200 usahawan Bumiputera dan firma daripada industri teknologi maklumat dan komunikasi menyertai anugerah itu berbanding 100 penyertaan tahun sebelumnya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply