News_archive

Najib Mahu Golongan Agama Bantu Malaysia Capai Status Negara Maju

By Friday April 6th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mahu golongan agama turut sama membantu Malaysia mencatat sejarah menjadi negara Islam pertama di dunia mencapai status negara maju.

Katanya beliau menaruh harapan sangat tinggi bahawa dengan berbekalkan semangat kuat yang ada pada golongan agama, hasrat itu mampu direalisasikan

“Saya ada satu impian…biarlah kita (Malaysia) mencatat sejarah sebagai negara Islam yang pertama di dunia mencapai status negara maju,” katanya semasa berucap pada majlis Perhimpunan Warga Agama/Qaryah Wilayah Persekutuan bersama Perdana Menteri di sini Jumaat.

Najib berkata apabila mampu mencapai status negara maju, golongan agama juga akan turut maju sekaligus membolehkan kerajaan berupaya menyalurkan peruntukan lebih tinggi untuk terus memperkasakan dan memartabatkan agenda Islam.

Beliau berkata ia juga secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mentadbir negara dengan baik dan dapat menentukan perkembangan negara ke arah lebih positif.

“Hasil pentadbiran negara yang baik itu kita mesti pulangkan balik kepada rakyat termasuk golongan agama. Saya janji bahawa bila ekonomi kita bertambah lebih baik lagi, untung nasib dan kebajikan (rakyat) tetap akan dijaga sebaik-baiknya oleh kerajaan,” katanya.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 warga agama itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada golongan agama yang dilihat turut komited bersama-sama dengan kerajaan dalam memperjuangkan agenda transformasi negara.

Justeru itu, Najib berkata apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan, ia tidak lari daripada prinsip Islam kerana salah satu sendi dan nilai utama yang disebutkan ialah nilai Wasatiyyah atau kesederhanaan.

“Nilai kesederhanaan itu bukan bermaksud lebih kurang, bukan bermaksud sambil lewa… tetapi bermaksud melakukan yang terbanyak tetapi ada penyeimbangan dari segi spiritual dan material,” katanya.

Beliau berkata dengan nilai kesederhanaan itu, bukan sahaja dapat membentuk negara yang baik tetapi juga dapat memperjuangkan satu ummah di samping hubungan baik dengan penganut agama lain turut dapat dipelihara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply