News_archive

Najib mahu dengar denyut nadi rakyat

By Monday April 27th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) — Berpandukan pendekatan Allahyarham ayahandanya, Datuk Seri Najib Tun Razak juga inginkan pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar ia berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Perdana Menteri berkata siri “walkabout” atau tinjauan mesra oleh beliau di kawasan-kawasan tertentu bukan sahaja bagi membolehkan beliau mendekati rakyat tetapi lebih penting supaya beliau dapat merasai sendiri secara visual dan melalui panca deria akan segala bau dan hiruk pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

“Contohnya, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini,” katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Tak sampai sebulan memegang jawatan Perdana Menteri, Najib telah membuat tinjauan sambil berjalan dan menemui orang ramai di Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfields bagi meninjau kehidupan masyarakat akar umbi. Minggu lepas pula, beliau meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki LRT dan melawat stesen bas Puduraya.

Najib berkata beliau teringat pendekatan Allahyarham ayahandanya, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang turun merapati rakyat ke kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan serta menaiki basikal dan berperahu.

Najib berkata memang jelas pengalaman yang diperoleh itu amat berharga dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan.

Perdana Menteri berkata sebab itulah beliau mahukan pegawai-pegawai tinggi kerajaan juga turun padang dari semasa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing.

“Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Najib berkata beliau sangat menekankan empati dalam pentadbirannya agar penyelesaian yang dicapai bagi setiap masalah rakyat adalah bertepatan dengan hasrat mereka yang sebenarnya.

Najib berkata kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian.

Bila rakyat menilai kepimpinan sektor awam dan politik, apa yang ingin diukur oleh mereka ialah pencapaian.

“Kepimpinan berteraskan pencapaian adalah kemuncak penilaian kepada kepimpinan,” katanya.

Mengenai usaha modenisasi sektor awam, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam usaha pembaharuan itu.

“Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan.

“Selepas ini, kita tidak mahu sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong. Apa yang mustahak, kerja mesti dijalankan,” katanya.

Perdana Menteri berkata kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam.

Sumber : Bernama

Leave a Reply