News_archive

Najib Mahu Calon-calon SUPP Berdamai Selepas Bertanding

By Saturday December 10th, 2011 No Comments

KUCHING, 10 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak mahu calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertanding dalam pemilihan parti itu supaya mengamalkan sikap suka berdamai, berhati mulia dan inklusif dalam tindakan mereka sebaik ia berakhir.

Semasa memberikan nasihat itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata mereka mesti merapatkan semula barisan bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat kerana pertukaran pucuk pimpinan tidak dapat dielakkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana parti.

“Mereka yang menang bukan menang kesemuanya dan mereka yang kalah bukan hilang semuanya kerana musuh mereka adalah pembangkang dan bukan anggota dan rakan dalam SUPP,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali SUPP yang ke-22 di sini.

Setiausaha Penyelaras parti Datuk Seri Peter Chin, yang pada awalnya dicalonkan bertanding menentang Timbalan Setiausaha Agung Datuk Seri Wong Soon Koh bagi jawatan Presiden, dijangka menang tanpa bertanding apabila pencalonan ditutup.

Wong tidak hadir pada persidangan selepas beliau dan penyokongnya meneruskan tindakan memboikot persidangan atas alasan “penyelewengan dan manipulasi” pada pemilihan cawangan.

Sementara itu, Najib menyifatkan Presiden SUPP yang bakal berundur Tan Sri Dr George Chan, yang menerajui parti sejak 15 tahun lalu, sebagai rakannya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Dr Chan, 75, beliau berkata individu yang merupakan datuk kepada 11 curu itu adalah seorang “yang bersahaja dan berpersonaliti.”

Najib berkata Dr Chan, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri sebelum dikalahkan pada pilihan raya negeri April 2011, telah berkhidmat dengan baik dan analogi mengenai kegemaran bermain golf kepada berpolitik secara gentleman sangat menarik.

Sumber : Bernama

Leave a Reply