News_archive

Najib Lulus Peruntukan Serta Merta RM2 Juta Untuk Bina Dewan Inanam

By Thursday June 30th, 2011 No Comments

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan serta merta RM2 juta bagi membina Dewan Serbaguna untuk kemudahan umum di Inanam yang terletak di pinggiran bandar raya ini.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu selepas melakukan lawatan mesra di pekan Inanam, Khamis.

“Saya sudah difahamkan kita ada tapaknya jadi kita akan lulus RM2 juta untuk sebuah dewan. Di sini pun ada masalah jalan raya, itu biar saya kaji dulu kerana peruntukannya agak besar tetapi kalau ada kemampuan kita akan laksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas minum petang di Restoran Taufik di Inanam.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan hak milik tanah yang diluluskan oleh kerajaan negeri kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Good Shepherd Menggatal, dekat pekan Inanam.

Perdana Menteri mengakhiri lawatan ke Sabah dengan mengadakan perjumpaan dengan rakan Facebook sempena sesi ke-5 “Mari Berjumpa Mari Berhubung” di sini.

Najib berkata sehingga kini, jumlah rakan Facebook yang berinteraksi dengan beliau ialah lebih 760,000 orang manakala lebih 150,000 orang mengikutnya menerusi Twitter.

“Hari ini kita pilih seratus orang sahaja, kalau kita pilih lebih kita perlu dewan yang lebih besar…adalah lebih baik mempunyai kumpulan kecil kerana kami dapat berinteraksi dalam suasana lebih mesra,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply