News_archive

Najib Lepaskan Konvoi Jelajah Silaturrahim Thailand, Myanmar

By Selasa Februari 15th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 15 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melepaskan konvoi Program Jelajah Silaturrahim Thailand dan Kawthaung, Myanmar sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan tahun ini.

Pelepasan konvoi melibatkan 40 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta para Sahabat Yadim itu, diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Program yang diketuai Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir itu, bertujuan meluaskan jaringan dakwah dan Sahabat Yadim di samping mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat Islam dan memupuk hubungan harmoni dengan bukan Islam.

Program anjuran Yadim selama enam hari lima malam itu, membabitkan jarak perjalanan pergi balik sejauh 2,500km.

Kawthaung terletak di selatan Myanmar, bersempadan dengan Ranong. Terdapat 15,000 orang Melayu di kawasan itu dan mereka bertutur dalam loghat utara Semenanjung Malaysia.

Antara pengisian program di Kawthaung ialah gotong-royong mengadakan kenduri di Kampung Tanjung Badak, berzanji dan ceramah Maulidur Rasul.

Sumber : Bernama

Leave a Reply