News_archive

Najib, Lee Yakin Projek Iskandar Akan Terus Subur

By Thursday January 5th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkeyakinan bahawa Iskandar Malaysia terus berkembang dan projek itu akan disiapkan mengikut jadual walau pun berhadapan ketidaktentuan ekonomi global.

Menjawab soalan sama ada penguncupan ekonomi di Singapura dan ketidaktentuan ekonomi global akan memberi kesan terhadap perkembangan keseluruhan projek usahasama itu, Najib berkata tiada tanda-tanda untuk menunjukkan bahawa perkembangan keseluruhan Iskandar semakin perlahan.

“Malah, pelaburan sebenarnya bergerak mengikut jadual,” katanya, sambil menyatakan bahawa keadaan ekonomi semasa di Malaysia dan Singapura akan berterusan pada paras kondusif bagi sektor swasta untuk terus melabur di Iskandar Malaysia.

Najib berkata demikian pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, selepas Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di sini Khamis.

Sementara itu, Lee berkata Iskandar Malaysia adalah satu projek jangka panjang dan “kami telah melihat pada tinjauan jangka panjang daripada prestasi suku tahun ke suku tahun.”

“Apa yang lebih penting ialah untuk meneruskan bekerja sama,” katanya, sambil menyatakan bahawa ekonomi Singapura masih mencatatkan prestasi yang positif.

Ekonomi republik itu berkembang 4.8 peratus pada 2011 dan diunjurkan berkembang antara 1.0 dan 3.0 peratus pada tahun ini, kata Lee.

Sebelum itu, Najib menyambut Lee di Aras Satu Pejabat Perdana Menteri dan kedua-dua pemimpin itu kemudiannya beredar ke Aras Lima bagi acara Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura.

Kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Iskandar Malaysia perlu meneroka lebih banyak cara bagi meningkatkan kerjasama.

Berkaitan dengan itu, satu kumpulan kerja yang baharu mengenai kerjasama perindustrian akan dibentuk di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi menggalakkan aktiviti ekonomi berkembar yang saling memberi manfaat antara Iskandar Malaysia dan Singapura.

Sumber : Bernama

Leave a Reply