News_archive

Najib Lawat KR1M Di Universiti Malaya

By Thursday December 22nd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Universiti Malaya di sini Khamis, KR1M pertama yang beroperasi di institusi pengajian tinggi.

Najib yang tiba kira-kira 4.45 petang disambut oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya Datuk Tan Lian Hoe, kemudiannya dibawa melawat kedai itu yang beroperasi di kedai koperasi UM.

Selain menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang menjual barangan KR1M, UM juga menjadi pelopor kepada penjualan makanan Menu Rakyat 1Malaysia.

Sambil menikmati menu daripada pakej sarapan pagi iaitu tea tarik dan roti canai yang bernilai RM2, Perdana Menteri turut beramah mesra dan berbincang dengan kira-kira 300 pelajar yang mengunjungi koperasi berkenaan.

Lawatan Najib itu dilihat sebagai mengiktiraf produk KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam memastikan pelajar IPT juga berpeluang menikmati produk pada harga berpatutan.

Projek perintis KR1M dilancarkan oleh Perdana Menteri di Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor pada 22 Jun lepas, menawarkan sehingga 250 jenis barangan keperluan di bawah jenama 1Malaysia, dengan sasaran sebanyak 85 premis KR1M dibuka di seluruh negara sehingga 2012.

Harga yang dijual ditetapkan antara 30 dan 50 peratus lebih rendah daripada barangan serupa di bawah jenama lain.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Ismail Sabri berkata sebanyak 17 lagi IPT di seluruh negara akan menjual makanan Menu Rakyat 1Malaysia tahun depan.

Beliau berkata menu tersebut termasuk produk KR1M tidak hanya akan dijual di koperasi IPT malah akan diperluaskan ke kafe dan kolej kediaman pelajar.

Sumber : Bernama

Leave a Reply