News_archive

Najib Lawat Kelantan Selasa Ini

By Friday January 20th, 2012 No Comments

MACHANG, 20 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan melawat Kelantan pada Selasa ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri dan isteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, Pengkalan Chepa, pada pukul 12 tengah hari.

Sejurus tiba, Perdana Menteri akan beramah mesra dengan para pemimpin Barisan Nasional (BN) Kelantan dan diikuti menepung tawar 15 buah van Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Kelantan di lapangan terbang tersebut, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Temangan di sini, Jumaat.

Najib dan isteri kemudiannya akan menghadiri majlis kesyukuran menyambut menantu yang diadakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di kediamannya di Jalan Hospital di sini.

Mustapa berkata pihaknya juga sedang merancang program lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri itu pada awal bulan depan.

“Kehadiran Perdana Menteri dan timbalannya serta pemimpin pusat yang lain akan memberi semangat kepada warga BN untuk bekerja dengan lebih kuat bagi merampas kembali Kelantan daripada pemerintahan PAS pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, Mustapa berkata “angin perubahan” semakin dirasai apabila terdapat ramai anggota dan penyokong PAS yang “muak” dengan janji kosong pemimpin PAS, menyertai UMNO

Beliau juga mahukan pemimpin UMNO di semua bahagian di negeri itu bekerja keras mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat serta mengerakkan jentera penerangan bagi menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.

Pada majlis tersebut seramai 73 anggota dan penyokong PAS kawasan Temangan menyerahkan Borang Keahlian Baru UMNO kepada Mustapa sebagai tanda mereka menyertai parti itu.

Wakil kumpulan berkenaan, Che Mustapha @ Che Pa bin Said, berkata mereka meninggalkan PAS kerana sudah “muak” dengan sikap pemimpin PAS yang suka menipu rakyat dengan janji manis yang tidak ditunaikan.

Beliau berkata walaupun memerintah Kelantan lebih 20 tahun, PAS ternyata gagal membangunkan negeri dan rakyat semakin dibelenggu dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan dan masalah bekalan air bersih.

Sumber : Bernama

Leave a Reply