Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Najib Lawat Isteri ADUN Pulau Manis Di HKL - Najib Razak
News_archive

Najib Lawat Isteri ADUN Pulau Manis Di HKL

By Monday June 15th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa meluangkan masa melawat Zainab Likam, isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Pulau Manis, Khairuddin Mahmud di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur di sini.

Zainab, 49, dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas untuk rawatan lanjut kerana menghidap darah beku dalam otak.

Najib, yang tiba pada 11 pagi, sempat bertanyakan khabar dan berbual dengan Khairuddin mengenai keadaan isterinya. Pulau Manis terletak dalam kawasan Parlimen Pekan yang diwakili oleh Najib.

Beliau juga sempat beramah mesra dengan beberapa pesakit lain sebelum berangkat pulang.

Khairuddin berkata isterinya mengadu sakit kepala dan pening ketika menghadiri program anak angkat anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kawasan Pulau Manis dua minggu lepas.

Zainab kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan Kuantan dan hasil pemeriksaan doktor, beliau disahkan menghidap ketumbuhan dalam otak dan telah menjalani satu pembedahan di hospital itu.

“Dia sedar dan makan tengah hari seperti biasa selepas pembedahan itu, namun doktor nasihatkan supaya dia dibawa ke pakar kerana terdapat darah beku di kepalanya,” kata Khairuddin yang kemudian membuat keputusan membawa isterinya ke HKL untuk menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku itu.

“Selepas pembedahan semalam, keadaannya kini stabil dan tidak membimbangkan dan dijangka sedar beberapa hari lagi,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply