News_archive

Najib Lancar Pelan Induk CMP2 Dijangka Bernilai RM5.8 Trilion Dalam Satu Dekad

By Tuesday April 12th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) – Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melancarkan Pelan Induk Pasaran Modal ke-dua atau CMP2 sebagai penyambung kepada pelan pertama yang sangat berjaya, di mana nilai pasaran modal diunjurkan berkembang kepada RM5.8 trilion di dalam tempoh 10 tahun akan datang melalui pengantarabangsaan yang lebih meluas, daripada RM2 trilion sekarang ini.

Perdana Menteri berkata CMP2 akan berkuat kuasa serta merta di bawah pelan perniagaan tahunan Suruhanjaya Sekuriti, dengan perubahan pada kerangka kawal atur bagi menarik dana dan kawal atur produk bagi memotong karenah yang tidak perlu dan mendorong kepada pengeluaran kelulusan yang pantas.

Dengan tujuan menghasilkan potensi sebenar pasaran, Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata satu skim dua pelesenan yang baharu akan diperkenalkan bagi memudahkan para peniaga di dalam pasaran ekuiti menjadi peniaga berlesen di dalam pasaran derivatif.

Terdapat juga pelan bagi menambah bilangan Hari Empunya Pedagang hampir tiga kali bagi membolehkan lebih banyak wakil peniaga menjadi peniaga khusus, katanya pada persidangan “Invest Malaysia 2011,” yang disertai oleh peneraju industri, pengurus dana dan pelabur institusi serta lebih 850 delegasi dari lebih 200 perbadanan Malaysia dan dari seluruh dunia.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Bursa Malaysia Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Kumpulan Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia yang baharu, Datuk Tajuddin Atan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

“Ini hanyalah tiga daripada program CMP2 dan ia akan berkuat kuasa mulai suku ketiga tahun ini — tanpa gangguan, tanpa kelewetan, pantas, melalui tindakan berkesan.

“Kita perlu melakukan segala terdaya bagi memastikan pasaran modal Malaysia tidak hanya berkembang, tetapi berkembang dengan risiko minimum di dalam persekitaran yang sangat dikawal atur,” katanya, sambil mengesahkan semula keseriusan kerajaan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia.

CMP pertama berjaya mengembangkan pasaran modal Malaysia kepada RM2 trilion walau pun dimulakan dengan asas yang sempit, katanya.

“Pasaran saham kita bersesuaian kepada lebih banyak syarikat senaraian awam berbanding mana-mana yang lain di dalam Asean, pasaran bon kita adalah yang ketiga terbesar di seluruh Asia apabila ditanda aras berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pasaran modal Islam kita menerajui dunia,” katanya.

Unjuran semasa saiz pasaran modal dijangka berkembang lebih dua kali kepada RM4.5 trilion menjelang 2020, dan dengan lebih pengantarabangsaan yang lebih meluas di mana angka itu boleh meningkat sehingga RM5.8 trilion bagi tempoh yang sama, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply