News_archive

Najib Lancar Pakej Pelancongan Bermotosikal Untuk Promosi Malaysia

By Thursday March 22nd, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat melancarkan pakej pelancongan bermotosikal “Five-Mountain Motorcycle Tour” untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang unik untuk kembara motosikal.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa pakej itu akan mendapat sambutan hangat di kalangan penggemar motosikal warga asing kerana ia menawarkan laluan-laluan dengan pemandangan indah, persekitaraan penggembaraan menakjubkan dan cuaca cerah dan nyaman di negara ini.

“Pada hemat saya pakej pelancongan ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pengembara motosikal yang paling unggul di rantau ini.

“Tentu sekali mengambil kira Malaysia ini merupakan bumi bertuah yang dianugerahi dengan segala keindahan alam semulajadi, maka sudah tentu apabila kita kembara seperti ini, kita akan dapat banyak pengalaman manis seperti perjalanan ke Genting Highlands, Bukit Fraser, Cameron Highlands, Bukit Larut dan Gunung Jerai,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bintang program Amerika Chopper, Discovery Channel Paul Teutul Sr.

Pakej pelancongan itu, usahasama antara World Tour Rider dan beberapa agensi yang menawarkan pelancongan kembara motosikal, menawarkan lima pakej pelancongan motosikal antara lima hingga 12 hari, untuk mempromosikan pemandangan indah di kawasan pergunungan di Malaysia dan destinasi pelancongan menarik yang lain.

Najib turut memperkenalkan 1Malaysia Chopper yang direka oleh Teutul, yang juga merupakan pengasas Orange County Choppers (OCC), untuk menonjolkan semangat 1Malaysia dan kepelbagaian kebudayaan rakyat Malaysia.

1Malaysia Chopper adalah hasil daripada perkongsian pintar antara Kementerian Pelancongan dan OCC yang juga akan menyaksikan Malaysia dipaparkan dalam beberapa episod program popular itu pada April dan Mei tahun ini.

Najib berkata: “Sebagai penonton tetap saluran Discovery Channel, saya berharap saya akan dapat menyaksikan pemandangan-pemandangan indah di Malaysia termasuk 1Malaysia Chopper tidak lama lagi.”

Sumber : Bernama

Leave a Reply