News_archive

Najib Lancar Klinik Bot 1Malaysia Bagi Penduduk Di Tebing Sungai Baram

By Thursday April 14th, 2011 No Comments

MARUDI, 14 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan perkhidmatan klinik bot 1Malaysia di jeti pekan Marudi bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di pedalaman berhampiran Sungai Baram.

Perkhidmatan klinik bot bergerak, yang pertama seumpamanya, akan memanfaatkan kira-kira 2,000 penduduk di 13 rumah panjang di 10 buah kampung dari Marudi ke Kuala Baram dan 3,000 penduduk lagi di perkampungan antara Marudi dan Long Lama.

Dua pasukan – setiap satu dianggotai seorang doktor, doktor gigi, ahli farmasi, pembantu perubatan dan beberapa jururawat – ditugaskan untuk mengendalikan klinik bot 1Malaysia untuk berkhidmat kepada penduduk yang tinggal di pinggir sungai Baram.

Bot klinik bergerak itu hasil usahasama antara Kementerian Kesihatan dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika ini, perkhidmatan doktor udara juga digunakan untuk memberi perkhidmatan kesihatan di pedalaman Sarawak dengan menggunakan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketika berucap kepada kira-kira 4,000 hadirin pada majlis Rakyat Bersama Pemimpin di Dataran Pekan Marudi, Najib mengumumkan peruntukan RM60 juta untuk pembinaan jalan Marudi-Miri bagi memudahkan perhubungan antara kedua-dua destinasi itu yang ketika ini mengambil masa tiga jam perjalanan bot ekspres dari Kuala Baram.

Selain itu, Perdana Menteri juga meluluskan peruntukan RM1 juta untuk tabung pembinaan Sekolah Jenis Kebangsa (Cina) Kee Tee di Long Lama yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Telang Usan.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon Barisan Nasional (BN) Sylvester Entri Muran dan Dennis Ngau, masing-masing bagi kerusi Marudi dan Telang Usan.

Najib, yang dalam rangka lawatan ke pedalaman di timur laut Sarawak hari ini, kemudian menaiki helikopter untuk melawat kawasan tanah tinggi Bario yang merupakan penempatan masyarakat Kelabit.

Sumber : Bernama

Leave a Reply