News_archive

Najib Lancar I-CeLLS Sebagai Pusat Sumber Pengajian Undang-undang

By Friday July 8th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pusat Antarabangsa bagi Pengajian Undang-undang (I-CeLLS), yang akan menjadi pusat sumber antarabangsa, serantau dan kebangsaan bagi pengajian undang-undang.

I-CeLLS merupakan satu projek perintis di Malaysia, yang melangkaui fungsi penyelidikan dan latihan yang terdapat pada mana-mana pusat atau institusi yang lain.

Ia juga menyediakan satu platform bagi para pakar dari pelbagai latar belakang dan disiplin termasuk pengamal undang-undang persendirian, ahli akademik, peguam kerajaan dan penggubal dasar untuk berinteraksi dan menangani isu utama antarabangsa, serantau dan kebangsaan dalam aspek yang berbeza.

Najib, yang juga penaung I-CeLLS, berkata penubuhan I-CeLLS merupakan satu perkembangan yang menarik mengenai perundangan yang boleh membawa kepaduan antara sektor yang berbeza bagi golongan peguam.

“Penubuhan I-CeLLS menunjukkan visi dan pemikiran terkedepan kerana ia bukan sahaja dipacu Pejabat Peguam Negara tetapi juga ahli akademik perundangan dan pemgamal undang-undang persendirian.

“Malah lebih mengagumkan, I-CeLLS berupaya menarik pakar perundangan antarabangsa untuk bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia dalam memandu I-CeLLS untuk muncul sebagai sebuah pusat sumber bagi pengajian undang-undang yang terkenal kepada negara, serantau dan di dunia,” katanya semasa melancarkan I-CeLLS di sini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Para anggota majlis eksekutif I-CeLLS, termasuk Prof James Crawford, yang juga Whewell Professor of International Law di University of Cambridge dan Duta Besar Chusei Yamada yang mempunyai karier unggul sebagai seorang diplomat dan peguam bagi kerajaan Jepun. Mereka juga mendapat penghormatan berkhidmat dengan Suruhanjaya Undang-undang Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Pakar antarabangsa yanglain dalam majlis eksekutif I-CeLLS ialah Prof Dirk van Zyl Smit, Professor of Comparative and International Penal Law of the University of Nottingham dan Robert Volterra, seorang peguam antarabangsa awam yang unggul.

Di barisan domestik, mereka termasuk Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee, Tan Sri Cecil Abraham seorang peguam terkenal dan timbang tara dan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Profesor Kanan Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Najib berkata dengan bimbingan anggota majlis eksekutif yang dihormati, beliau yakin I-CeLLS akan memberi perhatian dan menangani isu-isu dan cabaran yang mendesak yang dihadapi masyarakat di negara ini, serantau dan antarabangsa.

“Beberapa projek telah dipilih oleh I-CeLLS untuk memulakan aktivitinya. Ini termasuk Inisiatif Perubahan Iklim dan Projek Pembaharuan Sistem Pengadilan Jenayah,” katanya.

Perdana Menteri berkata inisiatif Perubahan Iklim akan memberi fokus bagi membangunkan satu kerangka undang-undang mengenai perubahan iklim untuk rantau ini dan juga masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata inisiatif itu akan memberi tumpuan bagi menyumbang dan melengkapkan rejim yang ada di peringkat antarabangsa terutama dalam pelaksanaan hasil Kerangka Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai rundingan Konvensyen Perubahan Iklim sementara menjadi proaktif kepada keperluan negara.

Projek Pembaharuan Sistem Pengadilan Jenayah pula, kata Najib akan mengkaji sistem pengadilan jenayah Malaysia pada masa ini dan membuat syor yang praktikal bagi pembaharuan yang komprehensif dan menyeluruh bagi sistem pengadilan jenayah berdasarkan kepada perundangan dan pengalaman bidang kuasa perundangan yang lain.

Perdana Menteri berkata bagi membolehkan I-CeLLS muncul sebagai sebuah pusat sumber bagi pengajian perundangan yang unggul di peringkat domestik dan antarabangsa, ia perlu menjalankan tugasnya secara objektif, profesional dan berkecuali.

Sumber : Bernama

Leave a Reply